KELAB Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tampil menafikan khabar angin yang mendakwa mereka bakal menarik diri daripada saingan Liga Super musim hadapan, sambil menyelar penyebaran maklumat palsu yang menjejaskan reputasi kelab.
KDA FC menegaskan bahawa pihak pengurusan kelab tidak pernah mengemukakan surat atau menyatakan hasrat untuk meninggalkan Liga Super dan beralih ke Liga Al Semi-Pro seperti yang didakwa.
“Pihak KDA FC tidak pernah menghantar surat mengenai hasrat untuk menarik diri daripada saingan Liga Super dan beralih ke saingan Liga Al Semi-Pro,” jelas kenyataan itu yang dimuatnaik pada Khamis.
Kelab turut menggesa agar pihak yang menyebarkan maklumat tidak sah ini bertanggungjawab dan memohon maaf secara terbuka kerana tindakan tersebut telah mencalar nama baik pasukan.
“Kami memohon pihak yang telah menyebarkan maklumat palsu tersebut supaya memohon maaf kerana ia telah menjatuhkan reputasi kelab. Semua pihak, termasuk media atau wartawan, harus lebih berhati-hati dalam memberikan kenyataan agar tidak mencipta persepsi buruk terhadap kelab,” tambah kenyataan itu lagi.
Sang Kenari kini terus memberi fokus kepada prestasi di atas padang selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang dalam aksi terakhir mereka di Stadium Darul Aman. Di bawah kendalian Victor Andrag, KDA FC dilihat masih konsisten untuk terus bersaing di pentas tertinggi bola sepak Malaysia.
KDA FC berharap khabar angin sebegini tidak akan menjejaskan semangat pasukan dan penyokong setia mereka menjelang musim baharu Liga Super.