KETUA jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon tetap optimis pasukannya mampu bangkit pada aksi kedua final ASEAN Club Championship Shopee Cup meskipun tewas tipis 1-0 kepada Buriram United pada perlawanan pertama malam tadi.

Pengendali dari Korea Selatan itu menyifatkan keputusan tersebut mengecewakan, namun tetap bangga dengan semangat dan persembahan dipamerkan pemain Selangor sepanjang perlawanan.

Menurut Kim, Red Giants berdepan kesukaran pada separuh masa pertama akibat beberapa kesilapan kecil sebelum bangkit mempamerkan aksi lebih baik selepas rehat.

“Separuh masa kedua sangat bagus. Kami mengawal permainan dan mencipta banyak peluang menjaringkan gol. Ia sesuatu yang sangat positif buat kami,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Kim percaya Selangor masih mempunyai peluang untuk memburu kejuaraan kerana baki 90 minit di Thailand bakal menjadi penentu sebenar.

Beliau turut memuji keberanian pemain yang berjaya mengimbangi permainan menentang antara pasukan terbaik Asia Tenggara ketika ini.

Katanya, Selangor hanya memberikan sedikit ruang kepada Buriram sepanjang permainan, malah mencipta lebih banyak peluang berbahaya berbanding lawan.

“Saya rasa pemain mempunyai keyakinan dan kami akan menjadi lebih kuat selepas ini,” katanya.