PASUKAN Terengganu FC membuka langkah besar dalam usaha memperkukuh jenama kelab apabila mengadakan pertemuan strategik bersama gergasi bola sepak Indonesia, Persija Jakarta di ibu kota republik itu pada Selasa. Pertemuan itu membincangkan peluang kerjasama merangkumi pembangunan bakat muda, pertukaran kepakaran kejurulatihan, penganjuran aksi persahabatan antarabangsa serta potensi komersial yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al Bajrai yang mengetuai rombongan bersama Ketua Pegawai Operasi, Mohd Syahrizan Mohd Zain menegaskan kolaborasi ini bukan sahaja bernilai dari sudut teknikal bola sepak, tetapi juga sebagai jambatan persahabatan baharu antara Malaysia dan Indonesia. Malah beliau yakin sinergi dengan Persija bakal membuka ruang komersial lebih luas sekali gus mengangkat imej Terengganu FC di peringkat serantau.

Presiden Persija, M. Prapanca bersama Pengarah Sukan, Bambang Pamungkas turut menyambut baik inisiatif ini dan percaya hubungan erat kedua-dua kelab mampu mencetuskan impak besar kepada pembangunan bola sepak ASEAN. “Pertemuan ini membuka ruang lebih luas untuk pertukaran pengalaman, memajukan bakat muda dan menyatukan komuniti bola sepak rantau ini,” katanya.

TFCSB menegaskan langkah ini adalah sebahagian daripada strategi memperluaskan jaringan antarabangsa kelab selain terus memperkukuh reputasi Terengganu sebagai kuasa bola sepak tanah air. Dengan sokongan positif Persija, kerjasama ini diyakini mampu memberi nilai tambah bukan sahaja dalam aspek teknikal, malah keseluruhan ekosistem bola sepak tempatan.

Buat masa ini, kedua-dua pihak optimis perbincangan tersebut akan diterjemah kepada bentuk kolaborasi nyata dalam masa terdekat, sekali gus menjadi simbol penyatuan bola sepak serantau.