APA sahaja yang di perkatakan oleh peminat tertentu, sekali lagi, malam tadi, membuktikan betapa pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim “golden touch” dalam menguruskan perjalanan sesebuah kelab bola sepak.

Tunku Ismail yang sebelum ini mengangkat bola sepak Malaysia menerusi kemudahan fasiliti bertaraf dunia di Johor, sekali lagi menunjukkan kewibawaan dengan sentuhan baginda dalam urusan pembelian pemain import.

Umum sebelum ini bekas penyerang Chelsea dan Manchester United, Radamel Falcao telah dikaitkan dengan juara sembilan kali berturut-turut Liga Malaysia itu ketika jendela perpindahan pemain kedua Liga Malaysia lalu.

Pun begitu di atas faktor yuran perpindahan yang menelan kos tinggi antara sebab utama Tunku Ismail membatalkan hajat baginda mendapatkan servis penyerang Colombia itu.

Sebaliknya baginda menukar strategi dengan membawa masuk pemain Jepun, Takahiro Kunimoto dan Heberty Fernandes dan hasilnya tidak perlu lagi diragui.

Kunimoto menyinar dengan meledak dua gol peribadi ketika membantu skuad Harimau Selatan berpesta gol membelasah Kelantan FC 10-0 di Stadium Sultan Ibrahim sekali gus melengkapkan agregat 15-1 dalam aksi pusingan 16 Piala Malaysia.

JDT yang selalu sinonim sebagai pakar rekod baharu dalam Liga Malaysia, turut mencatatkan pencapaian terbaharu apabila berjaya melepasi 100 gol dalam satu musim sejurus kemenangan besar terhadap pasukan Pantai Timur tersebut.

 

Titah Tunku Ismail menerusi laman sosial, Instagram: “Apabila saya membuat keputusan untuk membatalkan pemain bintang dan berbelanja hemah, di mana dengan 1 harga kami boleh tandatangani 2 pemain yang berkualiti, ramai yang mempersoalkan keputusan saya.

“Dan beberapa pihak cepat melompat macam kera suka seolah-olah kami gagal.

“Saudara saudari sekalian, dari 2013 apa sahaja keputusan saya dan apa saya cakap ramai pihak memperlekehakan. Hari ini orang ramai dapat melihat semua tindakan saya dan apa yang saya cakap dari dulu sudah menjadi kenyataan dalam bola sepak mahupun politik.”

Musim ini, JDT dalam landasan terbaik untuk mempertahankan gelaran trebel selepas menjuarai Piala FA 2023 selain mendahului Liga Super dengan meraih 60 mata sejurus kemenangan maksimum tanpa sebarang seri mahupun kalah sepanjang 20 perlawanan.