KUCHING City FC tidak mahu kemenangan besar 5-0 ke atas Kelantan Red Warrior FC menjadi alasan untuk mereka berasa terlalu selesa dalam mengharungi saingan Liga Super musim ini.

Sebaliknya, ketua jurulatih Aidil Shahrin Sahak melihat masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki meskipun pasukannya berjaya mencapai sasaran meraih tiga mata dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Kemenangan tersebut hadir ketika Kuching City perlu mengharungi jadual padat dengan tiga perlawanan berturut-turut di gelanggang lawan, sekali gus menguji tahap fizikal dan mental anak buahnya.

Aidil Shahrin turut memuji komitmen serta karakter yang ditampilkan pemainnya sepanjang perlawanan, terutama ketika berdepan situasi sukar selepas jadual padat. Beliau bagaimanapun menegaskan kemenangan besar itu bukan ukuran bahawa pasukannya sudah berada pada tahap terbaik.

“Alhamdulillah, sasaran untuk tiga mata tercapai. Saya akui bukan mudah untuk pasukan bermain tiga perlawanan di tempat lawan, masih banyak yang perlu diperbaiki meskipun pasukan menguasai perlawanan.

“Bola sepak sentiasa mengenai komitmen untuk berusaha hingga ke wisel penamat,” katanya selepas perlawanan.

Kuching City tidak mengambil mudah kemampuan Kelantan Red Warrior, malah Aidil Shahrin menyifatkan lawan mereka tetap memberikan tentangan walaupun berdepan beberapa kekangan menjelang perlawanan.

Kekalahan itu menyaksikan Kelantan Red Warrior mengalami tiga kekalahan berturut-turut, selain sudah melepaskan 18 gol dan hanya menghasilkan satu jaringan dalam tempoh berkenaan.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Kelantan Red Warrior FC, Irfan Bakti Abu Salim berharap isu sekatan FIFA dapat diselesaikan segera supaya pasukannya berpeluang mendaftarkan pemain baharu dan memperkukuhkan skuad bagi meneruskan kempen Liga Super.