PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah mengakui keputusan seri berdepan Kedah Darul Aman dalam perlawanan Liga Super semalam tidak memuaskan hati dan pasukan.

Dalam dua perlawanan berturut-turut, Perak FC dilihat menghadiahkan jaringan penyamaan kepada pasukan lawan, sesuatu yang Yusri ingin perbaiki menjelang saingan Piala Malaysia minggu hadapan.

“Banyak ‘homework’ perlu dilakukan. Walaupun kita mempunyai peluang yang lebih baik dalam perlawanan ini, keputusan seri ini perlu dijadikan pengajaran oleh para pemain, terutama kerana kesilapan sama sering berulang,” katanya selepas perlawanan di Manjung.

Yusri turut mengakui bahawa corak permainan pasukan The Bos Gaurus perlu diperbaiki.

“Minggu lepas saya katakan permainan kami kurang mantap, dan minggu ini perkara sama berlaku. Saya perlu bekerja keras untuk mengembalikan keyakinan pemain.

“Saya tidak rasa mereka tiada keyakinan, tetapi kita perlu menilai semula siapa yang layak diturunkan, lebih-lebih lagi menentang pasukan berpengalaman seperti Sri Pahang minggu hadapan,” katanya.

Yusri memerhatikan gelagat anak buahnya semasa aksi bertemu Kedah di Manjung pada Rabu.

Dia juga menyebut cabaran besar apabila beberapa pemain utama, termasuk Firdaus Saiyadi, Tommy Mawat, dan Shivan Pillay, Sunday Afolaby, kini berada dalam situasi bahaya selepas menerima dua kad kuning.

“Ada kemungkinan pemain bermain terlalu berhati-hati kerana takut menerima kad kuning ketiga, menyebabkan mereka kurang agresif di atas padang,” tambahnya.

Ketika ditanya mengenai jaringan lewat yang sering mewarnai perlawanan Perak, termasuk dalam pertemuan menentang Kedah, Yusri menegaskan pentingnya meningkatkan fokus dan mentaliti pemain.

“Pemain perlu keluar daripada perasaan khuatir yang boleh membawa kepada kesilapan. Saya mengharapkan mereka lebih fokus dan mempunyai mentaliti yang lebih kuat untuk mengatasi situasi genting di penghujung perlawanan,” tegas Yusri.

Afolaby dilihat bermain berhati-hati mengelak mengumpul kad kuning ketiga.

Dia turut memuji pengalaman pemain Kedah, walaupun menyedari bahawa mereka mungkin kurang bermotivasi.

“Walaupun Kedah mungkin tidak berada pada prestasi terbaik mereka, pemain-pemain mereka berpengalaman dan mampu mengambil peluang jika diberikan ruang,” kata Yusri.

Perak FC dijadualkan bertemu Sri Pahang dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia, satu lagi cabaran besar yang akan menguji persediaan mental dan taktikal pasukan.

FOTO: PERAK FC