Kredit Gambar: Media Sosial Chelsea FC

Chelsea FC mengesahkan ketibaan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez dari Aston Villa dengan kontrak selama tiga tahun bagi memperkuatkan benteng pasukan itu menghadapi musim baharu.

Walaupun nilai perpindahan tidak diumumkan secara rasmi, laporan media Britain menyebut The Blues membayar sekitar £7.5 juta (RM40.87 juta) untuk mendapatkan khidmat penjaga gol berusia 33 tahun itu.

Martinez, yang terkenal dengan gelaran ‘Dibu’, menyifatkan perpindahan tersebut sebagai peluang untuk membantu Chelsea mengejar lebih banyak kejayaan selepas menyertai kelab yang mempunyai sejarah cemerlang dalam pemburuan trofi.

“Saya mahu berjaya di sini. Saya seorang yang mahu menang dalam apa saja yang saya lakukan dan saya mahu membawa sikap itu ke kelab ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Chelsea.

“Ini adalah kelab yang memenangi trofi, jadi saya fikir ia adalah padanan yang baik,” tambahnya.

Perpindahan berkenaan menamatkan perjalanan enam tahun Martinez bersama Villa selepas dia meninggalkan Arsenal untuk menyertai kelab tersebut pada 2020. Sepanjang tempoh itu, dia membuat 256 penampilan dan muncul antara penjaga gol paling berpengaruh di Liga Perdana Inggeris.

Martinez turut membantu Villa menamatkan saingan musim lalu di kedudukan keempat untuk memperoleh tiket ke Liga Juara-Juara selain memainkan peranan dalam kejayaan kelab itu meraih kejuaraan Liga Europa.

Di Stamford Bridge, Martinez dijangka bersaing dengan Robert Sanchez bagi merebut posisi penjaga gol utama. Sanchez menjadi pilihan pertama Chelsea sejak menyertai kelab itu dari Brighton pada 2023, namun kedudukannya kembali dipersoalkan selepas beberapa kesilapan ketika kemenangan 3-2 ke atas Fulham dalam aksi pembukaan musim.

Di peringkat antarabangsa, Martinez merupakan sebahagian daripada generasi emas Argentina yang meraih pelbagai kejayaan, termasuk Piala Dunia 2022 serta Copa America pada 2021 dan 2024. Dia turut membantu Argentina muncul naib juara Piala Dunia 2026, sekali gus menambah koleksi pencapaiannya bersama skuad kebangsaan.