MENJANGKAKAN perebutan kejuaraan beregu wanita pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 lebih sengit tahun ini, hanya sasaran sekurang-kurangnya separuh akhir mampu ditetapkan.
Ketua jurulatih beregu wanita Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rosman Razak berkata,gelanggang di Axiata Arena, Bukit Jalil yang akan dibuka pada Selasa, menjadi sukar berikutan banyak pasangan yang dirombak.
Justeru, beliau mengandaikan pasangan utama, Pearly Tan-M Thinaah akan berdepan laluan lebih mencabar pada edisi 2025 berbanding edisi lalu.

Kehadiran pasangan baharu, menyulitkan perancangan. -Rosman Razak
“Kita letak sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir, tapi untuk melepasi pusingan pertama dan kedua pun sudah sukar.
“Bagaimanapun, saya harap mereka boleh menampilkan aksi terbaik. Sebenarnya saingan kali ini lebih rumit kerana ada beberapa gandingan baharu, jadi kita tidak ada data mengenai corak permainan mereka.
“Ini adalah suasana baharu dalam acara beregu wanita,” katanya, ditemui pada sesi menguji gelanggang di Axiata Arena pada Isnin.
Antara beregu yang baru dibentuk menjelang kejohanan Jelajah Dunia Super 1,000, dua pasangan Jepun, Misaki Matsutomo-Chiharu Shida dan Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto

Pearly Tan-M Thinaah mempamerkan peningkatan prestasi pada penghujung tahun lalu.
Turut baru digandingkan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan serta Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti (Indonesia).
Pearly-Thinaah dijangka berdepan aksi mencabar dalam saingan awal pada Selasa apabila dijadualkan bertemu Tria Mayasari-Siti Fadia yang dibentuk menerusi kaedah ‘scratch pair‘.
Mengulas keadaan fizikal beregu nombor enam dunia itu, Rosman masih belum dapat mengenal pasti kondisi mereka dan hanya boleh dinilai pada kejohanan tersebut.
“Memang kita fokus untuk meningkatkan bahagian (fizikal) itu tetapi sama ada sudah berubah ataupun tidak, kena tengok di dalam gelanggang nanti. Mereka akan berdepan lawan dan suasana yang berbeza,” ujarnya.