PASANGAN beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tidak bimbang dengan kekalahan di separuh akhir Terbuka Perancis, sebaliknya menganggap ia sebahagian proses untuk lebih mengenali karektor permainan lawan.
Dalam aksi berdurasi 40 minit, Aaron-Wooi Yik tunduk 14-21, 19-21 kepada gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Shohibul Fikri, namun tetap memberikan saingan sengit di penghujung set kedua.
“Kami rasa pada awal permainan banyak ketidaktentuan,” kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), sambil mengakui mereka sedang berusaha menyesuaikan diri dengan corak permainan lawan.
Menurutnya, kekalahan itu bukan sesuatu yang membimbangkan kerana mereka masih dalam proses memahami gaya permainan pasangan Indonesia berkenaan.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa akur akan kehebatan gandingan baharu Indonesia, Fajar-Shohibul Fikri.
“Mereka agak baru dengan cara permainan yang berbeza, jadi ramai masih mencari jalan bagaimana untuk menyesuaikan diri. Kami akan terus mencuba, terus bermain untuk tahu bagaimana mahu atasi tekanan,” kata Wooi Yik, selepas mereka dua kali tewas kepada lawan sama, di Terbuka China dan Perancis.
Tambahnya, setiap pertemuan memberi ruang untuk mereka menilai strategi sendiri dan mengenal pasti aspek yang perlu diperkukuhkan menjelang kejohanan seterusnya.
“Kami tidak terlalu risau tentang keputusan, yang penting kami belajar dan memperbaiki kelemahan,” ujar Wooi Yik yang tetap optimis dengan prestasi mereka sepanjang siri Eropah.
“Saya rasa kami belajar banyak dari segi mental kali ini. Kami sudah selesai di sini dan kini bersedia untuk kejohanan seterusnya,” katanya yang menamatkan cabaran pemain negara di Kota Paris.