KALI pertama layak beraksi pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, perseorangan lelaki utama Akademi Badminton Malaysia (ABM), Leong Jun Hao tidak mahu diulit rasa gementar sekali gus menghalangnya daripada mempamerkan prestasi terbaik.

Menyedari harapan tinggi peminat berada di bahu terutamanya selepas penarikan diri pemain profesional, Lee Zii Jia akibat kecederaan, Jun Hao nekad menyerap tekanan dengan memberi fokus kepada permainan sendiri menerusi sokongan ketua jurulatih, Kenneth Jonassen.

“Berasa ada lebih tekanan sebab saya seorang sahaja (penarikan diri Zii Jia).

“Namun saya akan keluar apa yang ada seperti dilakukan ketika latihan dan tekad cuba yang terbaik,” katanya, ketika ditemui ketika menguji gelanggang di Axiata Arena pada Isnin.

Pada aksi pusingan pertama, pemain di ranking ke-29 dunia itu dijadual berdepan wakil China, Lu Guang Zu.

Di sebalik tekanan tinggi itu, Jun Hao yakin kehadiran Jonassen mampu melonjakkan semangatnya untuk memperagakan aksi lebih baik.

sdaads

“Di mana-mana (kejohanan) ada tekanan dan lebih tinggi di hadapan penyokong sendiri. Namun ada berbincang dengan jurulatih untuk kurangkan tekanan.

“Sokongan jurulatih (Jonassen) banyak membantu meningkatkan motivasi saya untuk pergi ke tahap tertinggi. Saya harap dapat lakukan yang terbaik,” katanya.

Menyentuh mengenai cabaran daripada Guang Zu yang merupakan pemain berpengalam yang berstatus ke-16 dunia, Jun Hao mengakui ia pemain hebat, namun enggan cepat mengalah.

“Saya tidak pernah jumpa (lawan). Dia memiliki kekuatan mental dan fizikal yang baik, malah pernah mengalahkan Zii Jia di sini (pusingan pertama Terbuka Malaysia 2024),” katanya.

Mengulas mengenai corak permainan selepas kehadiran Jonassen, Jun Hao mengakui tidak banyak perubahan dilakukan dalam tempoh singkat ini.

“Tidak banyak tukar, seperti biasa sahaja dan buat perkara yang sama (corak permainan),” katanya.