PERSATUAN Badminton Kuala Lumpur (KLBA) mengharapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kebenaran untuk mereka “berumah” secara rasmi di Arena Badminton DBKL, Cheras.

Banyak perancangan lebih besar yang mampu menaikkan nama Kuala Lumpur sudah dirancang, namun hanya dapat direalisasikan sekiranya arena terbabit menjadi gelanggang rasmi KLBA.

Presiden KLBA, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunos berkata, sudah lebih tiga tahun beliau berhasrat mengadakan pertandingan badminton antara bandaraya di Asia Tenggara yang diberi nama Intercity Badminton Championship Asean, namun belum berupaya menganjurkannya kerana persatuan tersebut tidak memiliki fasiliti sendiri.

Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunos (kanan)

“Sekarang memang DBKL bantu tetapi kami hanya menumpang di sini (Arena Badminton DBKL). Kami harap DBKL boleh melihat sumbangan KLBA sejak sekian lama dan berikan kami tempat tetap untuk digunakan sebagai gelanggang latihan, menganjurkan pertandingan, melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan sebagainya.

“Lihat sahaja BA Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Johor, mereka memiliki akademi tetap mereka sendiri dengan bantuan pihak berkuasa tempatan,” kata Jahaberdeen kepada Flash Sukan.

Menurutnya, Projek Jejak Juara yang dianjurkan KLBA sudah menjadi bukti betapa kejohanan melibatkan masyarakat akar umbi dan pembangunan menampakkan kejayaannya.

Manakan tidak, kejohanan yang memasuki penganjuran ketiga tahun ini mendapat sambutan 3,500 penyertaan.

“Projek Jejak Juara benar-benar melibatkan semua pelajar sekolah di Kuala Lumpur dan mendapat sambutan setiap kali penyertaan dibuka.”

Sebanyak enam kategori dipertandingkan melibatkan penyertaan dari usia 7 tahun hingga 18 tahun bermula hari ini sehingga 11 Mei.