Arena bola sepak negara kehilangan seorang lagi figura bersejarah apabila bekas penjaga gol Harimau Malaya era 1970-an, Mohd Ali Osman disahkan meninggal dunia pada jam 1.37 pagi tadi.

Allahyarham dikenang sebagai antara penjaga gol terbaik negara pada zamannya hasil aksi konsisten dan ketangkasan yang dipamerkan sepanjang karier bersama skuad kebangsaan.

Sepanjang kariernya, beliau pernah menyarung jersi Perlis dan Penang selain menjadi tonggak penting Harimau Malaya dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

Antara pencapaian terbesar Allahyarham termasuk membantu pasukan kebangsaan menghadapi Kejohanan Bola Sepak Pra-Olimpik di Seoul pada tahun 1971 selain turut beraksi dalam kejohanan berprestij Pesta Bola Merdeka.

Difahamkan, Allahyarham sebelum ini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sebelum ditidurkan, namun punca sebenar masalah kesihatannya tidak didedahkan.

Mohd Ali turut mencipta nama dalam bola sepak tempatan apabila membantu pasukannya menjulang Piala Emas Raja-Raja pada tahun 1967, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara penjaga gol terbaik negara ketika itu.

Pemergian Allahyarham pastinya satu kehilangan besar buat arena bola sepak tanah air, khususnya kepada generasi yang pernah menyaksikan kegemilangannya bersama Harimau Malaya.

Jasa dan sumbangan beliau dalam memartabatkan bola sepak negara akan terus dikenang oleh peminat sukan tanah air.

Sumber Gambar: Stadium Astro