MASA depan Pep Guardiola bersama Manchester City terus menjadi tanda tanya apabila pengendali dari Sepanyol itu dilaporkan bakal meninggalkan kelab berkenaan sebaik tamat musim ini.

Menurut beberapa laporan media di England termasuk Daily Mail dan The Athletic, Guardiola dijangka mengucapkan selamat tinggal kepada Stadium Etihad selepas aksi terakhir Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa hujung minggu ini.

Bagaimanapun, setakat ini City masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung spekulasi tersebut.

Guardiola yang mengambil alih City pada tahun 2016 mencipta era kegemilangan luar biasa apabila menghadiahkan enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris serta satu trofi UEFA Champions League selain mengumpul keseluruhan 20 trofi sepanjang tempohnya di England.

Musim ini, City kembali bangkit selepas kempen tanpa trofi pada 2024-25 apabila berjaya menjulang Piala Liga dan Piala FA, sekali gus masih berpeluang merampas kejuaraan liga daripada Arsenal pada hari terakhir saingan.

Skuad kendalian Guardiola dijadual berdepan Bournemouth dan Aston Villa sambil mengharapkan Arsenal tercicir mata ketika menentang Crystal Palace.

City juga difahamkan sedang merancang perarakan khas bagi meraikan kejayaan meraih dua trofi domestik musim ini dan ia mungkin menjadi majlis perpisahan Guardiola bersama penyokong The Citizens.

Nama bekas pengendali Chelsea, Enzo Maresca yang pernah menjadi pembantu Guardiola sebelum ini disebut-sebut sebagai calon utama menggantikan beliau.

Sepanjang kariernya, Guardiola turut mencipta kejayaan besar bersama Barcelona dan Bayern Munich sebelum membina dominasi bersama City di England.

Pengaruh taktikalnya turut dianggap antara yang terbesar dalam bola sepak moden dengan beberapa pengendali terkenal termasuk Mikel Arteta dan Arne Slot mengakui banyak dipengaruhi falsafah permainan Guardiola.

Jika laporan itu menjadi kenyataan, Guardiola bakal meninggalkan City ketika keputusan siasatan terhadap lebih 100 dakwaan pelanggaran peraturan kewangan melibatkan kelab tersebut masih belum diumumkan.

Sumber Gambar: FB Manchester City