PASUKAN Terengganu FC disahkan akan terus bersaing dalam saingan Liga Super Malaysia musim 2026-27 selepas mendapat persetujuan prinsip daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif PBSNT yang berlangsung Khamis lalu bagi meneliti dapatan bengkel serta hala tuju kelab untuk musim baharu dan perancangan jangka panjang pasukan.

Menurut kenyataan rasmi PBSNT, keputusan tersebut dibuat selepas beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan utama melibatkan pengurusan kelab dan pasukan.

Dalam masa sama, PBSNT turut menegaskan bahawa proses penstrukturan semula akan dilaksanakan bagi memperkukuh aspek pengurusan, kewangan, teknikal dan operasi pasukan demi memastikan kestabilan serta kemampanan kelab dalam jangka masa panjang.

Isu beban kewangan dan kumulatif hutang daripada musim-musim terdahulu juga akan diberi perhatian utama menerusi pelaksanaan pelan penyelesaian secara lebih tersusun dan berperingkat.

Selain itu, kawalan terhadap perbelanjaan semasa pasukan akan diperketatkan sebagai langkah memastikan kemampuan kewangan kelab lebih stabil dalam menghadapi cabaran musim akan datang.

PBSNT turut memaklumkan fokus utama perancangan baharu itu adalah untuk memperkukuh tadbir urus organisasi, menstabilkan pengurusan kelab serta meneruskan agenda pembangunan bakat tempatan.

Pada masa sama, usaha membentuk semula kekuatan pasukan akan dilakukan secara lebih berhemah dan terancang bagi memastikan TFC kembali tampil lebih kompetitif.

PBSNT percaya dengan sokongan semua pihak termasuk penyokong setia Sang Penyu, kelab itu mampu bangkit dan kembali menjadi antara pencabar utama bola sepak negara pada masa depan.