KOMENTAR

Oleh MOHD FARIQ

TIDAK kurang mahupun lebih masing-masing dalam kalangan penyokong masih bercakap mengenai kehebatan pemain sayap lincah Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi.

Tidak kira sama ada menyarungkan jersi Harimau Selatan atau Harimau Malaya, Arif Aiman, 21, sentiasa menyajikan persembahan luar biasa dan tidak hairannya mengapa dia sudah mula dilabelkan sebagai ‘wonderkid’ Malaysia.

Terbaharu, Arif Aiman merekodkan sejarah baharu Liga Malaysia apabila menjadi pemain negara terpantas mencipta hatrik dalam tempoh 38 minit ketika menewaskan Selangor FC 4-0 dalam aksi separuh akhir Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Seminggu sebelum itu, nama Arif Aiman menjadi sebutan apabila meledak 4 gol ketika berpesta gol membelasah Papua New Guinea 10-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Dek prestasi luar biasa itu, ada pihak mula mencadangkan pemain yang membuat penampilan pertama di Liga Super ketika menentang Felda United pada 2020, itu memanfaatkan peluang untuk bermain di luar negara.

Bercakap mengenai potensi bermain kelab luar negara, pertama penulis tidak menidakkan kebolehan Arif Aiman tetapi penulis percaya dia sudah bersama kelab yang ideal mengembangkan potensinya – JDT.

Jika kita berbicara mengenai pemain-pemain tempatan khususnya Asia Tenggara bermain di luar negara, sejujurnya tidak banyak berjaya bermain sepenuhnya sebagaimana mereka beraksi cemerlang bersama kelab negara sendiri.

Sama wujud sentimen terhadap pemain Asia Tenggara atau sebaliknya penulis tidak pasti tetapi secara datanya tidak banyak pemain-pemain Malaysia dapat menembusi pasaran luar negara terutama kelab dari Eropah mahupun Asia itu sendiri.

Pun begitu, menjadi satu impian penulis bukan sahaja mahu menyaksikan Arif Aiman tetapi pemain-pemain Malaysia menempa nama di luar negara tetapi suka atau tidak, kita masih sedang berusaha ke arah itu.

Justeru, apabila ramai yang melontarkan idea kepada Arif Aiman untuk meninggalkan JDT menjadi satu pandangan yang kurang baik bagi penulis buat masa ini.

Ini kerana penulis amat yakin dengan keunggulan Harimau Selatan yang telah pun diangkat menjadi kelab paling berjaya dalam Liga Malaysia juga memiliki medan atau platform untuk pemain-pemain muda seperti Arif Aiman.

Harus diingat JDT beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC dan sepanjang dekad ini, Harimau Selatan telah konsisten merangkul trofi dalam persaingan domestik.

Paling mustahak, penulis percaya pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tahu apa visi dan misi terbaik buat pemain-pemainnya dan penulis percaya jika pemain JDT sudah mencapai merit, baginda akan melakukan sesuatu dan bukan hanya perpindahan ‘komestik’ semata-mata mahu melihat pemain bermain di luar negara.

Mengenali tokoh bola sepak negara seperti Tunku Ismail sememangnya baginda telah memiliki perancangan tersendiri dan penulis yakin Tunku Ismail mahu pemainnya dilamar atau dirisik dengan kaedah profesional, bukan semata-mata melalui khabar angin.

Nasihat penulis kepada Arif Aiman, jangan sesekali tertekan atau terbeban dengan setiap cadangan daripada mana-mana pihak sebaliknya nikmatilah permainan sebagaimana kami semua terhibur dengan gaya permainan kamu.

Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan sudah lama kita tidak melihat pemain yang masih muda tetapi cukup lincah merobek benteng pertahanan lawan dan inilah momen membuatkan kami teruja untuk terus turun padang.

The more difficult the victory, the greater the happiness in winning.” – Pelé.