EKSKLUSIF

PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA) akan melakukan rombakan secara besar-besaran bagi mengharungi Liga Malaysia musim 2023 dengan menyingkirkan lima pemain import musim ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab,  Khamal Idris Ali, kesemua pemain import musim ini bakal ditamatkan kontrak mereka dan akan digantikan dengan barisan pemain baharu.

Tindakan ini juga turut melibatkan penamatkan kontrak pemain-pemain tempatan yang kerap cedera dan tidak beraksi seperti yang diharapkan oleh pegawai dan peminat.

Khamal Idris Ali. Foto: KDA FC

“Marcos Vales Gonzales. Wanja Ronald Ngah, Dechi Marcel Nguessan, Sanrawat Dechmitr dan Mahmoud Nayef Ahmad Almardi telah beraksi bersama pasukan Kedah buat kali terakhir ketika kita bertemu Negeri Sembilan di Paroi Rabu lalu.

“Ketika ini kami belum memutuskan lagi lima pemain import bagi musim 2023 hanya selepas menentukan ketua jurulatih baharu musim depan.

“Hanya selepas tamat pertandingan Piala Malaysia musim ini barulah saya dapat umumkan nama ketua jurulatih baharu Kedah yang bakal menggantikan Aidil Sharin,” kata Khamal ketika di hubungi FLASH SUKAN.

Tambah Khamal, barisan pemain Kedah bersama Akademi Mokhtar Dahari juga bakal diikat kontrak bersama KDAFC bagi memastikan pemain-pemain ini tidak dipancing oleh pasukan lain.

Foto: KDA FC

“Saya yakin beberapa kesilapan yang dilakukan musim ini dijadikan sebagai teladan dan pelajaran untuk kita mempertingkatkan lagi usaha kita demi kejayaan pasukan musim 2023.

“Segala perancangan telah dilakukan dengan begitu rapi dan kini hanya tunggu masa sahaja untuk dilaksanakan bermula dengan menamakan ketua jurulatih. barisan pemain import dan juga barisan pemain tempatan baharu yang bakal beraksi bersama Kedah musim depan.

“Kita sengaja tidak mahu memberitahu nama ketua jurulatih kerana tidak mahu mengganggu tugasnya bersama pasukan yang di kendalikannya ketika ini, biarlah  tamat Liga Malaysia musim ini  dan peminat-peminat pasukan Kedah akan dapat mengetahui siapakah orangnya,” kata Khamal.

Katanya, tidak ada tempat dalam skuad Kedah musim depan bagi pemain yang hanya menjadi penumpang dan gagal menyumbang tenaga bagi kejayaan pasukan ketika diberi peluang.