PRESIDEN pasukan futsal Pahang Rangers, Tengku Fahad Mua’adzam Shah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai FAM bagi penggal 2022-2025.

Perkongsian pelantikan tersebut dimuatnaik di Facebook rasmi Pahang Ranger yang menyaksikan Tengku Fahad bersama Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin serta Pengerusi Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai Datuk Seri Rosmadi Ismail.

“Tahniah diucapkan kepada Presiden kami YAM Tengku Fahad Mua’adzam Shah atas pelantikan beliau sebagai Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai FAM bagi penggal 2022 – 2025.

“Individu yang tepat untuk berada di dalam jawatankuasa, seluruh warga Pahang berbangga dengan perkembangan ini!,” jelas kenyataan tersebut.

Sepanjang lima tahun mengemudi kelab Pahang Rangers ini, Tengku Fahad berjaya meletakkan pasukannya menjadi antara kelab futsal terbaik tanah air termasuk bergelar naib juara Piala Futsal Malaysia Julai lalu.