PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) mendedahkan sebanyak 28 pemain berdarah campuran pernah dikemukakan kepada kerajaan untuk mendapatkan kerakyatan bagi mewakili skuad Harimau Malaya namun hanya tujuh daripadanya diluluskan.
Pendedahan itu dibuat ketika isu pemain warisan kembali hangat susulan hukuman FIFA terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain yang disahkan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung pemalsuan dokumen rasmi.
Menurut TMJ, terdapat kira-kira 28 nama pemain yang pernah disyorkan oleh ejen untuk dinilai, namun hanya tujuh yang diberikan kelulusan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memperoleh status kerakyatan.
“Saya fikir jaringan besar, ramai (pemain) yang dicadangkan. Ada sekitar 28 pemain, namun hanya tujuh yang JPN luluskan,” titah baginda pada sidang media di Subang Jaya, hari ini.

Kenyataan itu sekaligus memperlihatkan betapa luasnya proses pencarian pemain warisan yang dijalankan sebelum ini, selain menimbulkan persoalan terhadap mekanisme semakan dan pengesahan dokumen yang digunakan.
Terdahulu, FIFA menjelaskan bahawa FAM dan tujuh pemain berdepan tindakan selepas wujud ketidakselarasan dalam dokumen pendaftaran asal mereka.
Antara pemain yang terlibat termasuk Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel — semuanya digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak selain didenda CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang.
FAM pula dikenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) oleh FIFA atas pelanggaran yang sama, sekali gus menambah tekanan terhadap badan induk itu yang kini berdepan krisis kepercayaan paling besar dalam sejarah bola sepak negara.