LIMA lagi atlet para telah berjaya menempah nama ke Sukan Paralimpik Paris 2024, sekali gus menjadikan sejumlah 15 pemain akan beraksi di Paralimpik Paris yang bakal membuka tirai pada 28 Ogos depan.

Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Majlis Pelancaran Kempen Team MAS iaitu satu jenama kebangsaan demi mewujudkan gerakan nasional untuk mendukung para atlet ke temasya Olimpik 2024.

Dengan perkhabaran mengenai lima atlet para badminton yang baru sahaja layak itu, ia menjadi satu kegembiraan buat arena sukan tanah air kerana berjaya mencapai sasaran lebih 30 atlet yang berjaya ke pentas berprestij Sukan Olimpik Paris itu.

Hannah Yeoh ketika berucap di Majlis Pelancaran Kempen Team MAS.

Cheah Liek Hou, Muhammad Fareez Anuar, Mhd Amin Burhanuddin (perseorangan lelaki), Muhammad Ikhwan Ramli dan Noor Azwan Noorlan (perseorangan lelaki dan beregu lelaki) antara lima para badminton yang baru sahaja mengesahkan slot ke Paralimpik Paris 2024.

“Sukacita saya umumkan seramai 33 atlet telah berjaya melayakkan diri untuk bertanding dalam temasya ini. Seramai 18 atlet akan bertanding pada temasya yang akan berlangsung pada 26 Julai 2024 sehingga 11 Ogos 2024. Manakala 15 atlet para akan bertanding dalam Sukan Paralimpik pada 28 Ogos 2024 sehingga 8 September 2024.

“Pada awalnya hanya seramai 28 atlet yang telah disahkan akan bertanding. Namun ada perkhabaran gembira, bahawa terdapat lima lagi atlet para (badminton) yang baru disahkan malam tadi untuk bertanding dan ini menjadikan jumlah atlet seramai 33 orang,” kata Hannah Yeoh ketika ditemui di Majlis Sukan Negara pada Khamis.

Antara atlet para yang layak ke Paralimpik Paris 2024.

Dalam perkembangan sama, Hannah turut meluahkan keterujaannya terhadap kempen yang baru dilancarkan pada pagi Khamis, ‘Team MAS’ yang diketengahkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menyokong perjuangan atlet ke Olimpik Paris 2024.

Kempen berkenaan menjadi tanda sokongan dan penyuntik semangat kepada para atlet yang telah layak agar mereka lebih berkeyakinan untuk berjuang di Paris dan berpeluang membawa pulang pingat emas pertama buat negara.

“Dengan membawakan tema ‘KITA SEMUA TEAM MAS’, Kerajaan Madani melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengutamakan penyatuan semua rakyat Malaysia dari seluruh pelosok negara sebagai sebuah pasukan yang sentiasa menyokong atlet yang akan berjuang di pentas tertinggi sukan dunia,” tambah Hannah.