ATLET para boccia, Noor Askuzaimey Mat Salim mendedahkan strategi atau petua penting dalam permainan boccia, sekali gus bersiap sedia untuk mengharungi perlawanan esok di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Askuzaimey yang akan bersaing dalam kategori individu dan berpasangan BC4 (pergerakan pasif atau kekurangan anggota badan) menegaskan, fikiran yang tenang dan berani untuk mengawal keadaan adalah aspek utama dalam permainan boccia.
Namun begitu, setelah memberikan segalanya dalam perlawanan, tawakkal adalah perkara seterusnya yang harus dibuat dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap keputusan perlawanan.
“Apa yang saya boleh kongsi, kita perlu kekal tenang sahaja dan tidak perlu berfikiran melampau tentang sesuatu perkara. Kita perlu elakkan diri daripada stress dan tertekan dahln hanya berikan yang terbaik dalam perlawanan,” ujar Askuzaimey.
Enggan terdedah dengan sebarang tekanan seperti dalam latihan juga merupakan fokus utamanya sebelum ini kerana tumpuan Askuzaimey lebih terarah kepada perlawanan yang akan berlangsung esok.
Tambahnya, dia juga tidak berani meletakkan sasaran pingat untuk dirinya sendiri dan menegaskan bahawa dia cuba berikan apa yang termampu.
Untuk rekod, Askuzaimey merupakan pemenang pingat emas Sukan Para Asia Hangzhou 2022 selain turut dibarisi pemain boccia lain, Abdul Razzaq Abdul Rahman dan juga Lee Chee Hong (pemenang perak di Sukan Para Asia Hangzhou 2022.