PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim, membuat pengakuan yang mengejutkan apabila menyifatkan skuad kendaliannya sebagai pasukan terburuk dalam sejarah kelab selepas kekalahan memalukan 3-1 kepada Brighton di Old Trafford, pada Ahad.

Kekalahan tersebut merupakan yang ke-10 bagi United musim ini, dan kekalahan keempat dalam enam aksi Liga Perdana Inggeris di tempat sendiri sejak Amorim menggantikan Erik ten Hag pada November.

Selepas perlawanan, Amorim tidak menyembunyikan rasa kecewanya terhadap prestasi yang ditunjukkan oleh anak buahnya itu.

“Saya bukan seorang yang naif, kami mungkin adalah pasukan terburuk dalam sejarah Manchester United dan kami perlu mengakui kenyataan ini dan mengubahnya.

“Dalam 10 perlawanan Liga Perdana, kami hanya menang tiga, bayangkan perasaan penyokong Manchester United, bayangkan juga bagaimana perasaan saya.

“Anda dapat jurulatih baharu yang kalah lebih banyak daripada jurulatih sebelumnya, fikirkan tentang itu. Kami perlu bertahan dalam saat sukar ini,” kata Amorim yang dipetik daripada media antarabngsa.

Kekalahan kepada Brighton menambah deretan keputusan buruk di Old Trafford, dengan United sebelum ini tumbang kepada Newcastle, Bournemouth, dan Nottingham Forest.

Malah, mereka hampir tewas kepada Southampton pasukan tercorot liga jika tidak kerana hatrik 12 minit oleh Amad Diallo pada Jumaat.

Amorim turut mengakui bahawa kebanyakan pasukan lawan jauh lebih baik daripada United dalam banyak aspek.

“Pasukan lawan lebih baik daripada kami dalam banyak perkara, dan kami tidak mampu konsisten.

“Saya tidak membantu pemain-pemain saya ketika ini dan ini adalah saat yang sukar serta kami perlu mengakui bahawa kami berada dalam situasi yang sangat sukar,” tambahnya.

Dengan kenyataan jujur Amorim, ia jelas mencerminkan betapa seriusnya krisis yang sedang dihadapi kelab gergasi itu.

Manchester United kini perlu segera mencari solusi untuk menghentikan kemerosotan prestasi yang semakin parah ketika ini.