SKUAD wanita bawah 19 tahun negara, Malayan Tigress B-19 bakal membuka kempen Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2025 menentang Kemboja petang esok di Ho Chi Minh City, Vietnam dengan semangat juang tinggi meskipun persiapan pasukan dikatakan agak singkat.

Ketua jurulatih, Cameron Ng menjelaskan fokus utama beliau bukan hanya kepada kemenangan semata-mata, tetapi lebih kepada pembangunan pemain untuk masa depan skuad senior negara. Namun, semangat untuk menang tetap membara dalam dirinya.

“Kami tahu semua pasukan termasuk Malaysia berdepan masa persiapan yang singkat. Tetapi apa yang saya mahu lihat ialah semangat juang tinggi dalam kalangan pemain kami. Mereka harus bermain sepenuh hati dan beri yang terbaik di atas padang. Jika itu dapat dilakukan, keputusan yang baik akan datang,” katanya ketika sidang media pra-kejohanan.

“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya tak suka kalah. Tapi realitinya, pasukan ini ialah pasukan pembangunan. Objektif utama saya ialah memastikan pemain-pemain muda ini bersedia untuk menyertai skuad senior. Namun, itu tidak bermakna kami tidak mahu menang – semangat untuk bersaing tetap tinggi.”

Tambah Cameron, kejohanan ini adalah medan terbaik untuk pemain muda menunjukkan potensi dan tahap kompetitif mereka.

“Kami mahu pastikan skuad senior wanita Malaysia terus kukuh dengan kehadiran pemain yang bersedia dari peringkat remaja.”

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Kemboja dan Indonesia. Selepas aksi menentang Kemboja, pasukan negara akan berdepan Thailand pada 11 Jun sebelum menamatkan saingan kumpulan menentang Indonesia pada 13 Jun. Ketiga-tiga perlawanan dijadualkan berlangsung pada jam 4 petang waktu Malaysia.