AKSI kedua Kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini dijangka menjadi medan penentu hala tuju sebenar Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski.
Pertembungan dua kuasa bola sepak Asia Tenggara ini bukan sekadar perebutan tiga mata, tetapi turut membawa simbolik kepada kebangkitan baharu Malaysia yang kini dibarisi beberapa tonggak naturalisasi serta pemain warisan dari luar negara. Dalam masa sama, Vietnam tampil dengan reputasi sebagai juara Kejuaraan AFF 2024 dan memiliki rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan antarabangsa terakhir.
Apa yang menjadikan perlawanan ini lebih menarik ialah kehadiran wajah baharu dalam kedua-dua pasukan. Malaysia tampil dengan dua pemain berpangkalan di Argentina – Rodrigo Holgado dan Facundo Garces – yang dijangka menambah kekuatan fizikal serta teknikal di bahagian serangan dan pertahanan. Turut menyertai skuad ialah pemain berdarah kacukan seperti Dion Cools dan Hector Hevel, yang semakin menunjukkan peningkatan.
Vietnam pula menyandarkan harapan kepada pemain Perancis-Vietnam, Jason Pendant Quang Vinh yang menambah dimensi baharu di posisi pertahanan kiri. Namun, skuad kendalian Kim Sang-Sik dilihat pincang di bahagian serangan berikutan ketiadaan Nguyen Cong Phuong, Nguyen Van Toan dan Bui Vi Hao akibat kecederaan.

Apa yang menjadikan perlawanan ini lebih menarik ialah kehadiran wajah baharu dalam Kem Harimau Malaya.
Walaupun begitu, Malaysia tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan lawan yang masih mengekalkan teras utama seperti Nguyen Quang Hai, Nguyen Tien Linh, Pham Tuan Hai dan kapten Nguyen Hoang Duc. Ini terbukti apabila mereka membelasah Laos 5-0 dalam aksi Kelayakan pada Mac lalu.
Sejarah pula tidak memihak kepada Malaysia. Harimau Malaya tewas dalam lima pertemuan terakhir menentang Vietnam, termasuk kekalahan 3-0 di Hanoi dalam saingan peringkat kumpulan Kejuaraan AFF 2022.

Aksi itu masih segar dalam ingatan penyokong apabila Azam Azmi dihenyak pertahanan lawan serta dilayangkan kad merah kontroversi selepas insiden dengan Doan Van Hau.
Kali terakhir Skuad Malaysia berjaya menewaskan Vietnam adalah pada tahun 2014 dalam aksi separuh akhir Kejohanan AFF, di mana Harimau Malaya mencatat kemenangan 4-2. Sejak itu, sudah 11 tahun Malaysia mengalami kemarau kemenangan apabila berdepan dengan pasukan Naga Emas (Vietnam).

Safiq Rahim Merupakan penjaring terbanyak kejohanan AFF 2014 dan berjaya membantu pasukan Malaysia Mara ke final selepas meraih kemenangan manis 4-2 di hanoi.
Dua aksi rasmi yang dilalui di bawah kendalian Cklamovski setakat ini menunjukkan sinar baharu – menang 2-0 ke atas Nepal dan seri 1-1 dengan Cape Verde. Meskipun Harimau Malaya tewas 0-3 dalam perlawanan tertutup kepada Cape Verde 3 Jun lalu, ia bukan ukuran mutlak kerana sebahagian besar pemain utama tidak diturunkan.
Perlawanan menentang Vietnam pada Selasa ini bukan sahaja bakal menjadi ukuran realistik keupayaan semasa Malaysia di peringkat Asia, malah akan menjadi detik penting untuk memecahkan ‘mental block’ yang sekian lama menghantui apabila bertemu pasukan jiran itu.
Jika Cklamovski berjaya mencorak kemenangan ke atas Vietnam di hadapan puluhan ribu penyokong di Bukit Jalil, ia bukan sekadar tiga mata – tetapi satu pernyataan bahawa Harimau Malaya sudah bersedia untuk menyaingi yang terbaik di Asia Tenggara dan seterusnya, benua Asia.