JURULATIH Selangor FC, Firdaus Aziz menganggap kejayaan pasukan Selangor FC menamatkan kemarau tujuh tahun sejak kali terakhir menjulang piala pada 2015 adalah disebabkan pasukan Selangor FC bermain sebagai sebuah keluarga.

Jelasnya, pasukan kendaliannya memiliki keakraban luar biasa dan kesemuanya sudah seperti satu keluarga dan bukan hanya rakan di dalam padang.

Semasa sesi temuramah diadakan, jurulatih Gergasi Merah itu berasa terlalu gembira dengan persembahan anak buahnya membawa pulang piala tersebut sehinggakan tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata.

Sebahagian aksi Final ke 2 Piala Belia 2022 antara Selangor FC menentang Sri Pahang FC.

“Pertama sekali syukur ke hadrat ilahi. Salah satu anugerah yang diberi kepada pasukan kami. Menjuarai kembali Piala Belia selepas 7 tahun. Walaupun kita seri tetapi kita rasa seperti menang. Saya tidak boleh menjelaskan perasaan saya.

“Kita telah bercakap di bilik persalinan tentang taktik tetapi di dalam padang, ia adalah tentang semangat berlawan. Kita telah melepasi tahap berkawan.

“Dalam padang, kita dapat rasakan mereka berlawan seperti sebuah keluarga, ia adalah faktor utama kita berada di tempat kita berada sekarang,” jelasnya kepada media.

 Bahazenan Osman menganggap gol penyamaan Tok Gajah sudah terlambat untuk menyekat Selangor FC dari menjulang Piala Belia 2022.

Sementara itu, jurulatih Sri Pahang FC, Bahazenan Osman mengakui gol penyamaan pasukan Sri Pahang FC sudah agak terlambat bagi skuad kendaliannya mencari gol tambahan dalam masa yang suntuk.

Jelasnya, kealpaan para pemain pada separuh masa kedua telah menghukum pasukan tersebut melalui sepakan lencong pemain Selangor FC pada ketika itu.

“Saya rasa walaupun kita dapat menyamakan kedudukan tetapi sudah terlewat untuk kita cari lagi dua gol tetapi kita tetap berusaha dan pemain-pemain telah mencuba sehingga wisel penamat.

“Kealpaan kita menyebabkan kita gagal untuk menjuarai pertandingan kali ini. Kita pun pasukan yang tidak menjangka mampu sehingga ke tahap ini. Selepas 18 tahun baru kita dapat kembali ke final,” ujarnya.