BARISAN berbeza diturunkan menentang Kazakhstan pada perlawanan kedua Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia, namun keputusan sama berjaya diulang apabila skuad negara mencapai kemenangan kedua dengan keputusan 5-0.

Perseorangan wanita, Wong Ling Ching pertama turun ke gelanggang tidak mengecewakan apabila pemain di ranking ke-186 dunia itu menghadiahkan mata pertama dengan kemenagnan 21-6, 21-13 ke atas Aisha Zhumabek, sebelum Leong Jun Hao menang ke atas Dmitriy Panarin 21-12, 21-16.

Wong Ling Ching balas kepercayaan jurulatih dengan kemenangan bergaya.

Gandingan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing menghadiahkan mata ketiga apabila mengatasi Nargiza Rakhmetullayeva-Kamilla Smagulova 21-7, 21-7.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga tiada masalah menghadiahkan mata keempat disusuli Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk mata kelima.

Aaron-Wooi Yik menang ke atas Khaitmurat Kulmatov-Artur Niyazov 21-5, 21-17, manakala Tang jie-Ee Wei mengatasi Makhsut Tadzhibullaev-Aisha Zumabek 21-9, 21-10.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan aksi terbaik merebut peluang untuk beraksi menentang India.

Dengan semua pemain sudah mendapat peluang untuk beraksi, tiba giliran barisan jurulatih membuat percaturan menjelang perlawanan terakhir kumpulan B menentang India.

India turut menurunkan barisan pemain berbeza pada perlawanan pertama dan kedua turut mencapai dua kemenangan dengan mata 5-0, dijangka membariskan pemain terbaik mereka menentang skuad negara dalam usaha untuk ke suku akhir selaku juara kumpulan B.