PENYERANG kebangsaan, Darren Lok menyifatkan kehadiran semula pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam skuad kebangsaan menambah kualiti yang ada pada pasukan dengan ianya lebih positif dan menjadikan senarai pemain yang dipanggil membentuk sebuah pasukan yang lebih kuat.

Darren berkata demikian selepas membandingkan barisan yang dipanggil ketika Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 tahun lalu.

“Sudah tentu dengan kehadiran pemain JDT yang kembali semula dalam skuad kerana mereka membawa kualiti dan ini adalah perkara yang positif buat skuad kebangsaan kerana Kim Pan-gon mempunyai barisan pemain yang lebih mantap.

“Skuad yang ada pada Piala AFF adalah skuad terbaik yang kita boleh kumpul, dan saya rasa kita telah lakukan dengan amat baik ketika itu,” jelasnya ketika ditemui di hotel pasukan.

Pemain warisan Malaysia-England itu juga menolak dakwaan dia kecewa kerana gagal menjaringkan gol pada aksi bertemu Turkmenistan sebaliknya gembira selagi pasukan Harimau Malaya mencatat kemenangan.

Dia juga selesa untuk bergandingan dengan dua pemain naturalisasi baharu negara, Endrick Dos Santos dan Paulo Josue dan menganggap mereka akan membentuk gandingan mantap apabila lebih sering bemain bersama-sama dalam satu pasukan.

“Saya tidak pernah kecewa selagi pasukan bermain dengan baik seperti dalam perlawanan sebelum ini. Saya boleh menyumbang dalam bentuk lain untuk membantu pasukan.

“Seperti yang saya katakan ianya bukan tentang gol tetapi selagi saya membantu pasukan dan kami beraksi dengan baik, itu lebih penting.

“Antara saya, Endrick dan Paulo masih banyak perkara perlu kami perbaiki. Ianya memerlukan masa kerana bukan mudah untuk mereka masuk dalam pasukan kebangsaan dengan hanya tiga empat hari latihan namun ianya sesuatu yang positif. Saya selesa bergandingan dengan mereka dan keserasian ini akan terbentuk apabila kami bermain bersama dengan lebih kerap,” tambahnya.

Bercakap mengenai persiapan menentang Hong Kong pada Selasa, Darren mengakui ianya bukan satu perlawanan yang mudah kerana lawan adalah satu pasukan yang berkualiti dan berharap mereka dapat memberikan satu lagi kemenangan buat skuad negara.

“Ianya satu perlawanan yang bukan mudah kerana Hong Kong adalah lawan yang berkualti. Tidak ada perlawanan persahabatan yang mudah dan kami perlu beraksi dengan serius dan tunjukkan permainan yang baik dan ianya amat penting untuk memenangi perlawanan ini.

“Para pemain juga sudah faham apa kehendak jurulatih sejak dia hadir setahun lalu. Dia sudah tetapkan cara bola sepak yang dimahukan dan kini kami perlu beraksi dengan pantas ketika bertemu Hong Kong dan berharap kami dapat berikan satu permainan yang baik dan mencatat kemenangan,” tambahnya yang mempunyai 23 kaps dengan skuad Harimau Malaya.

Malaysia bakal bertemu Hong Kong dalam satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa pada Selasa di Stadium Sultan Ibrahim dengan anak-anak buah Kim Pan-gon kini berada pada tahap terbaik selepas membenam Turkmenistan 1-0 dalam perlawanan terdahulu.