PERSEORANGAN Ng Tze Yong memulakan latihan gelanggang hari ini dengan fokus kepada pergerakan kaki (footwork) namun masih belum dibenarkan melakukan sebarang latihan melibatkan lompatan.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Kenneth Jonassen, berkata sesi itu menandakan langkah awal penting dalam proses pemulihan pemain berkenaan selepas kecederaan lutut.
Beliau menjelaskan latihan berkenaan bertujuan menilai tindak balas lutut sebelum beban latihan ditingkatkan secara berperingkat.

“Hari ini adalah hari pertama dia melakukan footwork dan kami mahu melihat bagaimana reaksinya,” kata Jonassen, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Menurutnya, latihan lompatan hanya akan dimulakan selepas penilaian lanjut dilakukan bersama kakitangan Institut Sukan Negara (ISN).

Ng Tze Yong menjalani dua pembedahan belakang, dan pembedahan lutut dalam dan luar negara.
Jonassen berkata pemantauan rapi dilakukan setiap hari bagi mengelakkan sebarang risiko kecederaan berulang.
“Semuanya nampak positif setakat ini dan kami berharap kemajuan kecil ini dapat membina keyakinannya semula,” katanya.
Untuk rekod, Tze Yong menjalani pembedahan ACL lutut kanan pada Julai tahun lalu, di sebuah hospital di Doha, Qatar, dan belum mengikuti sebarang kejohanan.