GANDINGAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terus mengukuhkan status sebagai bintang dunia apabila dilantik menjadi duta jenama syarikat perkhidmatan kewangan global, Allianz Malaysia Berhad, bermula 1 Januari ini.
Pelantikan itu hadir selepas kejayaan bersejarah mereka muncul juara dunia Ogos lalu, satu pencapaian gemilang yang mengangkat nama Malaysia ke puncak badminton dunia.
Allianz melihat Tang Jie-Ee Wei sebagai simbol kejayaan bertaraf dunia yang dibina atas disiplin, ketabahan dan konsistensi, sejajar dengan nilai teras yang dibawa menerusi Program Allianz C.E.O.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang berkata pemilihan juara dunia itu sebagai duta jenama mencerminkan kepercayaan bahawa kejayaan bukan sekadar bakat, tetapi keberanian dan keupayaan bangkit mengharungi tekanan.
Menerusi kerjasama itu, logo Program Allianz C.E.O. akan tertera pada jersi pasangan nombor empat dunia itu, bermula Terbuka Malaysia minggu depan, sekali gus memberi dimensi baharu kepada penampilan mereka di pentas antarabangsa.
Menerusi kenyataan yang diedarkan, Ee Wei meluahkan rasa teruja diberi kepercayaan oleh organisasi global sambil menganggap sokongan Allianz sebagai suntikan keyakinan untuk terus mengejar kecemerlangan menjelang Olimpik 2028.
Allianz Malaysia pula terus mengukuhkan komitmen terhadap pembangunan badminton negara menerusi kerjasama bersama BAM dan penganjuran Allianz Junior Badminton Championship dalam melahirkan generasi juara masa depan.