BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan momentum positif apabila melangkah ke suku akhir Masters Indonesia 2026 selepas menundukkan pasangan Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Sapsiree Taerattanachai, di Jakarta hari ini.

Juara dunia itu mempamerkan aksi konsisten untuk meraih kemenangan straight set 21-12, 21-18 dalam tempoh 35 minit di Istora Senayan.

Di peringkat suku akhir, Tang Jie-Ee Wei akan berdepan wakil Singapura-Indonesia, Terry Hee-Gloria Emanuelle Widjaja.

Sebelum ini, mereka mara sehingga suku akhir Terbuka Malaysia awal bulan lalu sebelum tumpas kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.

Bagaimanapun, prestasi mereka di Terbuka India tidak menjadi apabila tersingkir seawal pusingan pertama kepada pasangan China, Cheng Xing-Zhang Chi.

Dalam pada itu, cabaran beregu lelaki negara tidak seindah diharapkan apabila Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong tersingkir di pusingan kedua.

Azriyn-Wee Kiong bermula positif dengan memenangi set pertama, namun gagal mengekalkan momentum sebelum akur tewas kepada pilihan kelima kejohanan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.