BUAT kali pertama dalam karier, pasangan beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura, sekali gus menebus kekecewaan pada dua edisi lalu apabila tersingkir awal di pusingan kedua.
Lebih manis, pertembungan suku akhir nanti menyaksikan mereka akan menentang rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, sekaligus menjamin sekurang-kurangnya satu slot separuh akhir menjadi milik Malaysia dalam kategori beregu lelaki.
“Kami rasa gembira sebab ini kali pertama berjaya ke suku akhir di Singapura. Dua tahun lepas kami kalah di pusingan kedua. Sekarang dapat juga rasai suasana yang lebih dalam di kejohanan ini,” kata Wei Chong yang nyata lega dengan prestasi hari ini.
Pasangan pilihan kelapan kejohanan itu terlebih dahulu menundukkan gandingan muda China, Huang Di-Liu Yang, 21-15, 21-16 dalam masa 39 minit.

Leong Jun Hao melebarkan rekod pertemuan dengan Jonatan Christie kepada 3-2.
Dalam satu lagi aksi, Aaron-Wooi Yik terpaksa bekerja keras sebelum menyingkirkan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 21-18, 24-26, 21-12 dalam perlawanan yang berlangsung lebih sejam.
Sementara itu, pasangan pilihan kedua, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak berdepan masalah apabila mengetepikan cabaran pasangan muda negara, Junaidi Arif-Yap Roy King, 21-13, 21-11.
Kejutan terbesar dihadirkan perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang mudah menyingkir pemain nombor 5 dunia dari Indonesia, Jonatan Christie 21-16, 21-19 dalam tempoh 53 minit. Kemenangan itu membolehkannya menyamai pencapaian tahun lalu, iaitu suku akhir.
TAMAT