BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah masih dalam proses meningkatkan kekuatan fizikal sebagai fokus utama persiapan menjelang Kejohanan Seluruh England, Mac depan meskipun berjaya menutup kempen Masters Indonesia dengan gelaran juara.
Pada kejohanan di Istora Senayan itu, Pearly-Thinaah dinobatkan sebagai juara biarpun tidak perlu turun ke gelanggang berikutan pasangan Jepun, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi menarik diri gara-gara masalah kesihatan dialami Takahashi.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menjelaskan perkembangan prestasi pasangan negara itu semakin menunjukkan peningkatan dari pusingan ke pusingan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky gembira dengan pencapaian pemain di Masters Indonesia.
“Pearly-Thinaah perlahan-lahan dapat momentum, rotation mereka sudah membaik,” kata Rexy ketika dihubungi, mengenai aksi beregu wanita nombor satu negara itu.
Namun, Rexy mengakui aspek fizikal masih menjadi keutamaan dalam perancangan pasukan kejurulatihan bagi memastikan mereka lebih bersedia menghadapi kejohanan berprestij dunia.
Menurut Rexy, pendekatan berperingkat itu penting supaya pemain tidak memuncak terlalu awal selain mengelak risiko kecederaan.
Pearly-Thinaah kandas di pusingan kedua Super 1,000 Terbuka Malaysia, separuh akhir Terbuka India (Super 750) sebelum menguasai Masters Indonesia (Super 500).
Di Seluruh England tahun lalu, Pearly-Thinaah kandas di suku akhir dan kedudukannya sebagai pemain nombor dua dunia, pasti memberi kelebihan dari segi undian untuk mendapatkan laluan lebih baik.