BIARPUN belum berada pada tahap terbaik, beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai masih mampu pamer kecemerlangan di Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2025 ketika mara ke suku akhir.

Soon Huat-Shevon menampilkan persembahan bertenaga apabila menundukkan gandingan China, Feng Yan Zhe-Wei Ya Xin, 21-11, 21-19 dalam masa hanya 34 minit di Stadium Tertutup Singapura.

Baru kembali dari tempoh kecederaan bukanlah mudah untuk Goh Soon Huat, namun dia berjaya buktikan di Terbuka Singapura.

Shevon amat lega dan bangga dengan prestasi dipamer suaminya dengan berkata: “Hari ini saya benar-benar ingin memberi kredit kepada Soon Huat kerana dia bekerja keras untuk kembali ke gelanggang. Ia bukan mudah, tapi kami sama-sama mainkan peranan masing-masing.”

Jelas Shevon lagi, keadaan angin yang kuat di gelanggang turut menyukarkan permainan mereka, namun pengalaman yang dimiliki membantu mereka mengawal permainan pada detik genting.

Kejayaan itu membolehkan mereka ke sukur akhir dn bakal dicabar gandingan utama Thailand, Dechapol Puavanukroh-Supissara Paewsampran.

Pearly Tan-M Thinaah semakin utuh sebagai satu gandingan.

Sementara itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah turut ke suku akhir apabila menyingkirkan pasangan dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, dengan kemenangan 25-23, 21-18.

Pearly mengakui melakukan beberapa kesilapan mudah pada set kedua tetapi menganggap Thinaah sebagai tonggak kekuatan mereka.

“Saya banyak buat kesilapan mudah, tapi nasib baik saya ada Thinaah yang banyak bantu dan lindungi saya hari ini,” ujarnya, yang akan bertemu gandingan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian di suku akhir esok.