TIMBALAN Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, menyuarakan kebimbangan mengenai perancangan penganjuran konsert besar-besaran di Stadium Hoki Bukit Jalil pada tahun hadapan.

Menurut beliau, sehingga kini dana daripada penganjuran konsert tersebut tidak akan mengalir kepada MHC.

“Setakat pada hari ini, semua dana itu akan pergi ke Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), tak ada lagi surat rasmi ataupun verbal confirmation mengatakan bahawa sebahagian dana akan datang kepada MHC,” katanya ketika sidang media di Menara PERKESO Putrajaya, pada Sabtu.

Beliau turut menyatakan bahawa MHC telah berbincang dengan PSM mengenai impak konsert yang kerap terhadap aktiviti sukan di stadium tersebut.

Ahmad Najmi Abdul Razak (tengah) berharap agar isu konsert dapat dipertimbangkan dengan baik demi memastikan persediaan pasukan hoki negara.

“Satu tahun ada 52 minggu, kalau nak buat konsert 26 kali setahun, itu akan jadikan 26 minggu kita perlu tutup stadium. 

“Setengah tahun kita tak boleh berlatih di padang satu. Bukan saja itu, stadium itu pun akan rosak lah pada pandangan saya,” katanya lagi.

Namun begitu, Ahmad Najmi menjelaskan bahawa angka 26 konsert setahun itu hanyalah ura-ura dan belum ada pengesahan rasmi.

Ketika ditanya sama ada penganjuran konsert ini akan mengganggu sesi latihan pasukan hoki negara atau tidak, beliau tidak menafikan kemungkinan itu.

“Kalau konsert banyak sangat, pada pendapat saya dia akan sedikit sebanyak mengganggu penyediaan dan atur cara latihan yang telah disediakan oleh jurulatih, itu saja,” ujarnya.

Stadium Hoki Nasional akan berpotensi rosak akibat konsert yang dijalankan.

Ahmad Najmi turut mengingatkan bahawa MHC hanya menyewa stadium tersebut dan tidak mempunyai kuasa penuh ke atas pengurusannya.

“Stadium itu bukanlah milik kami dan kami hanya menyewa, jadi kami tidak boleh berkata apa-apa.

“Kami hanya harap ada sedikit persefahaman dan pengetahuan daripada PSM untuk berbincang dengan kami bagaimana untuk menghadapi hari-hari yang diperlukan untuk melakukan keputusan itu, terima kasih.”

MHC berharap agar isu ini dapat dipertimbangkan dengan baik demi memastikan persediaan pasukan hoki negara tidak terganggu, sekali gus mengekalkan prestasi mereka di arena antarabangsa.