SETIAP pesilat terpilih ke Kejohanan Pencak Silat Dunia 2024, memiliki tanggungjawab dan tiada ruang untuk menjadi “penumpang”.
Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) meletakkan sasaran tujuh pingat emas ke atas pesilat senior pada edisi ke-20, dan edisi kelima kejohanan remaja pada 18 hingga 22 Disember ini, sama seperti kejayaan edisi lalu di Melaka.
Presiden Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan bahawa setiap pesilat yang dihantar ke Abu Dhabi dipilih berdasarkan kemampuan dan potensi untuk menyumbang kepada kejayaan negara.
Antara yang menjadi sandaran adalah juara bertahan Nor Farah Mazlan, juara Kejohanan Pencak Silat Asia 2023 Mohamad Firdaus Latib, dan pemenang emas Sukan Sea Hanoi, Muhammad Khairi Adib Azhar.
“Bertanding di luar negara bukan alasan untuk menurunkan sasaran. Saya yakin kombinasi pesilat senior dan remaja mampu menghasilkan keputusan cemerlang. Tiada siapa di sini sekadar memenuhi kuota; semua adalah pejuang negara,” kata Megat Zulkarnain pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Pasukan Silat Negara di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di Putrajaya.
Selain itu, skuad remaja juga diberi perhatian, dengan sasaran membawa pulang sekurang-kurangnya tiga pingat emas.
Setiausaha Agung Pesaka, Bibi Aishah Golbal Shah, berkata, sasasran emas tidak ditetapkan kepada pesilat tertentu sahaja.
“Kami tidak menetapkan harapan kepada atlet tertentu. Namun, dengan komitmen dan latihan yang telah dijalankan, tiga emas adalah sasaran yang realistik,” katanya.
Seramai 46 atlet, termasuk 31 pesilat senior dan 15 pesilat remaja, akan membawa cabaran negara. Pesaka juga melihat kejohanan ini sebagai peluang penting untuk skuad remaja mengasah pengalaman dan bersedia menjadi pelapis kepada skuad utama.