KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) kini memberi tumpuan kepada perancangan awal dan pengurusan kewangan yang lebih sistematik dalam usaha memperkukuh pasukan hoki negara, kata Timbalan Presiden MHC, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak.
Beliau memaklumkan Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, tidak dapat menghadiri sidang media kerana urusan kecemasan keluarga, namun menekankan beberapa perkara penting yang dibincangkan dalam AGM, termasuk prestasi pasukan kebangsaan, perancangan masa depan, dan cabaran pengurusan bajet.
Menurut Ahmad Najmi, dua pasukan kebangsaan, pasukan senior wanita yang meraih tempat keempat di Asian Champions Trophy (ACT) dan pasukan junior lelaki yang juga berada di kedudukan keempat dalam Piala Remaja Asia di Oman telah berjaya mencapai KPI yang ditetapkan.
Sementara itu, skuad junior wanita kini berjuang di Muscat, Oman, untuk merebut tempat kelima bagi memastikan kelayakan ke Piala Remaja Dunia di Chile tahun depan.
Namun, cabaran utama yang digariskan dalam AGM kali ini ialah keperluan meningkatkan perancangan kewangan MHC.
Dengan bajet tahunan sebanyak RM14 juta yang diperuntukkan kepada MHC termasuk RM4 juta daripada penaja utama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ahmad Najmi secara terbuka mengakui bahawa jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menampung pelbagai komitmen, terutama dengan peningkatan pasukan dan format pertandingan yang kini turut melibatkan hoki indoor serta hoki 5s bagi kedua-dua jantina.
“Dulu, kita hanya ada hoki padang untuk pasukan senior dan junior lelaki dan wanita. Sekarang, kita dah ada pasukan indoor dan hoki 5s, dan pasukan-pasukan ini langsung tidak mendapat peruntukan daripada Majlis Sukan Negara (MSN). Semua ini perlu ditanggung sepenuhnya oleh MHC sendiri,” jelasnya pada Sidang Media Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kali ke-70 di Dewan Utama Menara PERKESO, Putrajaya pada Sabtu
Walaupun berdepan cabaran bajet, beliau menegaskan bahawa MHC tetap komited memastikan kejayaan pasukan kebangsaan.
Salah satu kejayaan besar ialah kelayakan pasukan hoki indoor ke Piala Dunia di Croatia 2025, hasil usaha keras pemain dan pelatih walaupun tanpa sokongan kewangan dari MSN.
Dalam usaha menambah dana, MHC bekerjasama erat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MSN, dan beberapa penaja korporat seperti QNET, Bank Islam (RM1.2 juta setahun), dan Speedmart.
Bagaimanapun, usaha mencari penaja baharu tetap menjadi cabaran besar kerana hoki kurang popular berbanding sukan seperti bola sepak.
“Kami perlu bekerja keras untuk meyakinkan penaja. Sokongan dari pihak media juga amat penting dalam membantu kami mencari rakan kongsi baharu yang percaya kepada sukan ini.
“Hoki mungkin bukan sukan utama dalam negara, tetapi kami yakin dengan keunikan permainan pantas yang mampu menarik perhatian apabila disaksikan secara langsung di stadium,” tambahnya lagi
Selain itu, MHC juga menekankan kepentingan perancangan awal untuk memastikan persediaan pasukan kebangsaan berjalan dengan lancar.
“Salah satu perkara utama yang disebut Presiden dalam AGM tadi ialah perancangan awal. Kami perlu mencari bajet tambahan jika diperlukan dan memastikan semuanya bersedia untuk kejohanan besar seperti piala dunia,” katanya.
Ahmad Najmi turut merakamkan penghargaan kepada KBS yang kini mula memberi perhatian kepada hoki indoor selepas kejayaan pasukan negara melayakkan diri ke Piala Dunia.
Beliau berharap sokongan ini dapat diterjemahkan kepada bantuan kewangan untuk pembangunan lebih meluas pada masa depan.