IMPIAN skuad hoki remaja negara untuk melangkah ke final Men’s Junior Asia Cup 2024 terkubur selepas tewas 1-3 kepada juara bertahan, India, dalam aksi separuh akhir di Stadium Hoki Oman, Al Amarat, Muscat, pada Selasa.
Kekalahan ini menyaksikan Malaysia akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga bertemu Jepun, sementara India mara ke final untuk bertemu seteru tradisi, Pakistan.
Malaysia, yang turun dengan jersi kuning hitam, bermula agresif dengan memperoleh pukulan sudut penalti seawal minit keempat, namun gagal memanfaatkan peluang tersebut.
India kemudian mengambil alih rentak permainan dan membuka tirai jaringan menerusi Dilraj Singh pada minit ke-10 selepas kelekaan pertahanan negara.
Skuad kendalian Iswaraphatam Vikneswaran bergelut untuk mengimbangi permainan, terutama dengan tekanan tinggi yang diberikan India.
Walaupun pasukan negara cuba bangkit pada suku kedua dan ketiga dengan beberapa peluang pukulan sudut penalti, kelemahan dalam kawalan bola dan penyudah menghampakan usaha mereka.
India pula terus kukuh dengan menambah gol menerusi pukulan sudut penalti Rohit pada minit ke-45, menjadikan kedudukan 2-0.
Harapan Malaysia untuk mengubah keputusan semakin pudar apabila Sharda Nand Tiwari meledak gol ketiga India pada minit ke-53 melalui backshot menarik.
Namun, skuad negara berjaya mencipta detik positif apabila Azimuddin Syakir Kamaruddin menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-57 untuk memberikan gol saguhati buat Malaysia.
Walaupun tewas, penjaga gol negara, Mohamad Rafaizul, mempamerkan aksi cemerlang dengan menafikan beberapa pukulan sudut penalti India sepanjang perlawanan.
Kini, skuad hoki remaja negara perlu bangkit untuk memastikan pingat gangsa menjadi milik mereka apabila berdepan Jepun dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada malam esok.