OLIMPIAN muda, Betrand Rhodict Lises tidak disenarai ke Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura bulan depan selepas gagal memenuhi markah kelayakan minimum (MQS) yang ditetapkan Akuatik Malaysia (MAS).
Atlet kelahiran Sarawak itu, gagal mencapai had minimum individu, turut diketepikan dalam acara seirama selepas rakan seiramanya mengalami kecederaan.
Menurut Pengarah Teknikal Terjun, Yeoh Ken Nee, pemilihan ke kejohanan dunia kini dibuat sepenuhnya berdasarkan data dan konsistensi pencapaian atlet di pentas kompetitif, bukan semata-mata nama besar atau reputasi masa lalu.

“Sebagai ganti, tempat ke kejohanan itu diisi oleh Elvis Priestly, penerjun pelapis yang menunjukkan prestasi konsisten terutama dalam acara platform.
“Elvis mencapai markah MQS melebihi lima kali musim ini, sekali gus membuktikan kesediaannya untuk beraksi di pentas dunia dan dijangka menjadi sandaran utama dalam perancangan jangka panjang ke Sukan SEA dan Sukan Asia,” kata Ken Nee dalam sidang media MAS di pejabat badan induk sukan akuatik negara,di Pusat Akuatik Nasional.

Pengarah Teknikal Terjun, Yeoh Ken Nee tegaskan hanya penerjun dengan prestasi terbaik melepasi had MQS akan dibenar sertai kejohanan.
Ken Nee turut mengakui Malaysia kini berdepan cabaran kekurangan penerjun wanita dalam acara papan anjal apabila tiada seorang pun atlet yang melepasi MQS.
Situasi itu memaksa kontinjen negara menumpukan kepada acara utama seperti platform 10 meter individu dan seirama wanita, yang akan dibarisi oleh gandingan Pandelela Rinong dan Lee Yiat Ching — pasangan baharu yang diharap mampu menyinar.
Selain tiga penerjun terbabit yang akan ke Kejohanan Akuatik Dunia, empat lagi penerjun lelaki iaitu Enrique Harold Maccartney (10m platform), Syafiq Puteh, Nurqayyum Nazmi Nazim serta Yong Rui Jie tersenarai dalam acara melibatkan papan anjal.