Kredit Gambar: Jung Yeon-je/AFP

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menambah satu lagi koleksi pingat buat kontinjen Malaysia selepas meraih gangsa dalam acara keirin wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Beraksi di Velodrom Izu, Shizuoka, pelumba negara itu berjaya menamatkan saingan final di tempat ketiga untuk menaiki podium bersama dua pelumba China.

China mendominasi perebutan emas dan perak apabila Yuan Liying muncul juara, diikuti rakan senegara, Wang Lijuan di tempat kedua.

Seorang lagi wakil Malaysia, Nur Alyssa Farid, turut beraksi dalam final namun terpaksa berpuas hati di kedudukan kelima.

Pingat gangsa itu turut mencipta catatan penting buat berbasikal trek wanita negara apabila Izzah menjadi pelumba Malaysia kedua meraih pingat dalam acara keirin wanita di pentas Sukan Asia.

Sebelum ini, Fatehah Mustapa menjadi satu-satunya pelumba negara yang pernah menaiki podium dalam acara berkenaan selepas memenangi pingat perak pada Sukan Asia Incheon 2014.

Izzah terlebih dahulu menunjukkan prestasi meyakinkan pada pusingan awal apabila memenangi saringan pertama untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Alyssa turut melangkah ke final selepas menduduki tempat kedua dalam saringan awal sebelum mempamerkan aksi lebih baik di separuh akhir dengan memenangi kumpulannya, di depan pelumba China, Liying, dan wakil Taiwan, Chen Ching-Yun.

Izzah pula menamatkan separuh akhir di tempat kedua di belakang Lijuan, namun kedudukannya sudah mencukupi untuk membawanya ke final sebelum menutup saingan dengan pingat gangsa.