MANCHESTER United kini berusaha membawa masuk bek tengah Monaco dan skuad kebangsaan Perancis, Axel Disasi sebagai persediaan mengisi kekosongan Harry Maguire yang dikatakan bakal meninggalkan pasukan.

Pemain berusia 24 tahun itu, yang merupakan sebahagian daripada skuad Piala Dunia Perancis, telah dikaitkan dengan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris termasuk West Ham United dan Tottenham.

Difahamkan Man United merupakan pasukan awal yang melakukan rundingan awal untuk mendapatkan  pemain pertahanan itu.

Disasi menyertai Monaco dari Reims pada 2020 dan membuat penampilan sulung antarabangsanya di Qatar.

Pemain pertahanan itu dijangka meninggalkan Monaco sama ada bulan ini atau pada jendela perpindahan musim panas.

Maguire menelan belanja United 80 juta (RM423 juta) pada 2019 tetapi tiga tahun kemudian, Rio Ferdinand merasakan dia perlu meninggalkan Old Trafford.

“Jika saya Harry Maguire, saya sedang mencari kelab baharu sekarang,”kata bekas pemain pertahanan United itu baru-baru ini.