KEJAYAAN luar biasa skuad boling Malaysia terus menjadi sorotan apabila skuad lelaki negara muncul juara Kejohanan Boling Piala Dunia IBF 2025, disusuli dengan sejarah baharu yang dicipta Natasha Roslan.

Atlet wanita negara itu bukan sahaja membawa pulang pingat emas dalam acara perseorangan wanita tetapi turut dinobatkan sebagai pemain boling Malaysia pertama, tanpa mengira jantina, yang meraih kejuaraan berganda pada kejohanan tertinggi itu.

Presiden Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Datuk Mohd Najeeb Abdullah, yang ditemui di KLIA 1 ketika menunggu ketibaan wira dan wirawati boling negara, tidak dapat menyembunyikan rasa bangganya terhadap kejayaan ini.

Menurut beliau, kejayaan Natasha dan pasukan lelaki negara adalah hasil daripada perancangan jangka panjang dan usaha bersepadu yang dilaksanakan sejak bertahun-tahun lalu.

“Inilah yang kita nantikan. Natasha telah menunjukkan konsistensi luar biasa sejak awal, dan akhirnya berjaya mencipta sejarah untuk dirinya dan negara dengan meraih emas. Kemenangan ini adalah bukti kerja keras dan dedikasi yang telah ditanam selama ini,” ujar beliau.

Mengulas perancangan masa depan, Najeeb menekankan komitmen MTBC untuk terus memberikan sokongan penuh kepada atlet negara. Beliau mengakui jadual tahun ini sangat padat, dengan Sukan SEA Bangkok menjadi salah satu cabaran terbesar menjelang hujung tahun.

“Selain mengekalkan momentum, fokus kami adalah melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia. Ini adalah usaha berterusan yang telah dirancang dengan teliti,” katanya.

Namun, ketika ditanya mengenai penghargaan kepada atlet yang membawa nama negara, Najeeb mengakui bahawa tiada insentif rasmi yang diberikan setakat ini.

“Kami rasa sedih juga, tetapi kami akan berusaha menghargai pengorbanan mereka. Insya-Allah, kita akan cari jalan untuk memberi penghargaan yang sewajarnya,” tambahnya dengan nada optimis.

Kejayaan skuad boling negara di IBF 2025 bukan sahaja mencerminkan kualiti dan ketekunan atlet tetapi juga potensi besar Malaysia untuk terus bersinar di pentas dunia. Dengan perancangan rapi dan usaha konsisten, sukan boling negara dilihat berada di landasan tepat untuk mencipta lebih banyak sejarah gemilang.