PEMAIN lincah kebangsaan, Akhyar Rashid, secara rasmi telah menandatangani kontrak sebagai pemain tetap Terengganu FC (TFC), yang akan menyaksikan kekal bersama kelab itu sehingga akhir musim 2026/2027.

Langkah ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan cemerlangnya sepanjang tempoh pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim 2024/2025.

Akhyar telah memberikan impak besar kepada skuad TFC, bukan sahaja dalam saingan domestik tetapi juga di pentas serantau seperti kejohanan peringkat ASEAN.

Keupayaan dan komitmennya membantu meningkatkan prestasi pasukan telah mendorong pihak pengurusan TFC untuk membuat permohonan rasmi kepada JDT bagi menandatangani pemain ini secara tetap.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail , yang juga pemilik JDT, telah berbesar hati memberikan persetujuan untuk melepaskan Akhyar kepada TFC.

Keputusan ini dilihat sebagai sokongan terhadap pembangunan bola sepak negara dengan memberikan peluang kepada pemain tersebut untuk terus berkembang di peringkat kelab.

“Kami amat menghargai kemurahan hati dan sokongan JDT serta Tunku Mahkota Johor dalam meluluskan perpindahan ini. Kehadiran Akhyar pastinya akan memperkukuhkan lagi pasukan kami, bukan sahaja untuk baki musim ini tetapi juga untuk musim-musim akan datang,” kata kenyataan rasmi dari Terengganu FC.

Dalam satu kenyataan, Akhyar melahirkan penghargaan mendalam kepada JDT dan Tunku Mahkota Johor atas segala sokongan dan bimbingan yang diterimanya sepanjang bersama kelab itu.

Dengan pengesahan ini, peminat bola sepak Terengganu kini boleh menantikan aksi Akhyar Rashid di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk tempoh dua musim lagi, dengan harapan dia terus membawa kejayaan kepada skuad Penyu.