PEMAIN boling wanita sensasi negara, Natasha Roslan, telah melakar sejarah apabila menjadi pemain wanita pertama Malaysia yang menjuarai Piala IBF 2025 tempoh hari.

Kepulangan Natasha bersama barisan atlet boling negara yang lain disambut dengan penuh kemeriahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di mana kehadiran peminat dan keluarga membuktikan penghargaan tinggi terhadap kejayaan mereka yang mengharumkan nama negara.

Ketika ditanya mengenai perasaannya, Natasha sempat meluahkan kegembiraan atas kejayaan yang telah diperolehnya.

“Alhamdulillah saya rasa macam masih dalam mimpi, namun saya tahu ini adalah permulaan yang baik untuk saya pada tahun 2025.

“Saya akan terus bekerja keras kerana tahun ini kita ada Kejohanan Dunia dan Sukan SEA dan saya akan pastikan saya akan memberikan yang terbaik dalam setiap kejohanan nanti,” katanya ketika ditemui di KLIA pada Rabu.

 

Walaupun kejayaan ini merupakan pencapaian besar, Natasha menyatakan bahawa dirinya masih dahagakan kejayaan lain untuk terus mengukir nama di pentas antarabangsa.

“Masih banyak yang saya ingin capai, termasuk PWA dan Sukan Asia, sasaran utama saya tahun ini ialah memenangi Kejohanan Dunia pada bulan November dan beraksi di PWA, jadi kita lihat bagaimana perjalanannya nanti,” katanya lagi

Menurut Natasha, jadual 2025 penuh dengan cabaran, selepas Piala Malaysia, dia akan menyertai kejohanan wanita profesional (PWA) sebelum Kejohanan Dunia yang berlangsung berdekatan dengan Sukan SEA.

Tambahan lagi, Natasha mengakui bahawa beliau tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi dalam Piala IBF, namun kemenangan ini hadir sebagai sebuah bonus manis yang amat bermakna buat dirinya.

“Saya hanya mensasarkan kejayaan dalam acara berpasukan kerana pada 2022 kami memenangi gangsa di Australia.

“Tetapi apabila memenangi acara individu, ia adalah bonus yang bermakna untuk diri saya,” katanya.

Natasha Roslan kini melangkah ke tahun 2025 dengan penuh tekad dan semangat, kejayaan di Piala IBF menjadi pencetus untuk lebih banyak pencapaian, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.