SPEEDY Tigers membariskan lima muka baharu untuk dibawa ke Poland, dalam kempen Piala Negara-Negara (Nations Cup) yang akan berlangsung di Gniezno pada 32 Mei hingga 9 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razal berkata, lima pemain yang bakal mendapat kaps pertama di Gniezno itu adalah dua pertahanan, Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin dan) Muhammad Arif Syaafie Ishak; Syawal Abd Razak (pemain tengah); dan dua penyerang, Naaveennash Panicker Thevendran, Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi.
Menurutnya, Malaysia yang diletakkan dalam kumpulan B bersama Perancis, Pakistan dan Kanada itu, turut menyenaraikan tujuh pemain yang tidak beraksi di Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini bagi melengkapkan senarai 20 pemain.
Manakala kumpulan A pula membariskan Austria, Korea Selatan, New Zealadn, Poland dan Afrika Selatan.
“Kejohanan ini pastinya memberikan pengalaman yang lebih mencabar kepada barisan pemain, terutamanya lima pemain yang bakal mendapat kaps antarabangsa pertama bersama skuad senior.
“Kita mahu melihat keberanian dan tentangan sengit daripada mereka,” kata Najmi.
Skuad negara menyenaraikan tujuh pemain yang tidak berada dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah lalu seperti penjaga gol, Muhamad Zaimi Mat Deris; Muhammad Faris Harizan, Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin dan Muhammad Arif Syafie Ishak (pertahanan); serta Naaveenash Panicker, Nur Rahull Hrsikesa (penyerang).
Sementara itu, pengendali skuad kebangsaan, Sarjit Singh berkata, pemain perlu mengharungi saingan dengan baik dalam usaha melepasi peringkat kumpulan dan layak ke separuh akhir.
“Pasukan ini adalah pasukan projek jangka masa panjang, jadi tiada tekanan buat pemain terutamanya pemain muda yang akan meraih kaps antarabangsa pertama mereka,” kata Sarjit.