SPEEDY Tigers berwajah baharu, namun nampaknya masih ada penyakit lama yang masih bersarang, apabila terlepas peluang memenangi aksi sulung Piala Negara-Negara, Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang berlangsung di Gniezno, Poland.

Pada perlawanan pertama kumpulan B menentang Pakistan, skuad negara yang dibimbing Sarjit Singh mendahului 3-0 menerusi jaringan Fitri Saari pada minit keempat; Azrai Aizad Abu Kamal, minit ketujuh dan Faizal Saari, minit ke-11, namun membenarkan Pakistan merapatkan kedudukan 3-1 pada minit ke-32 menerusi jaringan padang Abdul Rehman.

Fitri kembali melebarkan pendahuluan apabila menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-42 mengubah kedudukan menjadi 4-1.

Fitri Saari menjaringkan dua gol menerusi penalti stroke pada minit keempat dan 42, ketika Speedy Tigers seri 4-4 dengan Pakistan. | FOTO FIH

Namun selepas itu, tembok pertahanan skuad negara bagaikan terlalu mudah ditembusi apabila Pakistan meraih tiga lagi gol menerusi Sufyan Khan (43’), Hannan Shahid (52’)dan Abu Mahmood (60’) menjadikan keputusan berkesudahan 4-4.

“Kita bermain dengan cemerlang untuk memenangi perlawanan namun kesudahannya kita seri.

“Pemain beraksi baik pada dua suku pertama tetapi pada suku ketiga dan keempat, pemain berada di bawah tekanan dan mula melakukan kesilapan sehingga membenarkan Pakistan menjaringkan gol dan menyamakan kedudukan,” kata Sarjit.

Begitupun, Sarjit memuji komitmen yang ditunjukkan pemain sepanjang beraksi di padang.

Azrai Aizad Abu Kamal (23) meraikan jaringan padang yang dilakukannya ketika meletakkan Malaysia 2-0 di depan Pakistan.| FOTO FIH

“Kita kalah dari segi pengalaman. Kita mencipta banyak peluang untuk memenangi perlawanan ini tetapi mengakhirinya dengan lemah.”

Justeru, Sarjit berharap pemain akan lebih berhati-hati dan kurang melakukan kesilapan terutamanya dalam kawasan D, dan meningkatkan peluang melakukan jaringan.

Ekoran keputusan itu, Malaysia dan Pakistan kini berkongsi satu mata dan skuad bimbingan Sarjit tiada pilihan kecuali memenangi perlawanan ke atas Kanada sambil sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dengan Perancis, iaitu pasukan di ranking kesembilan dunia.

Skuad negara akan menentang Perancis Ahad ini, pada jam 9.30 malam, sebelum menentang Kanada pada Rabu depan.