THE Speedy Tigers memperoleh tonik terbaik untuk memulakan kempen Piala Sultan Azlan Shah 2024 selepas berjaya membenamkan pasukan New Zealand pada satu aksi persahabatan di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh.
Kemenangan ini menjadi lebih manis apabila skuad hoki negara dapat mengalahkan pasukan yang telah layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Ketua jurulatih hoki negara, Sarjit Singh mengakui perlawanan sebegini memberi manfaat yang cukup baik kepada pasukan dan ia merupakan perlawanan yang berintensiti tinggi.

Sarjit Singh memuji pemainnya yang menunjukkan komitmen sepenuh hati. (Sumber Gambar: MHC)
Jelasnya lagi, keputusan perlawanan bukan menjadi keutamaan tetapi beliau dapat melihat bagaimana pemain-pemain memberi komitmen sepenuh hati di atas padang.
“Perlawanan seperti ini yang kita mahukan, tempo perlawanan yang cukup tinggi dan memberi manfaat yang cukup baik kepada pemain-pemain.
“Pujian juga harus diberikan kepada setiap pemain kerana memberi komitmen yang cukup baik dan seperti yang saya katakan, kami memerlukan masa untuk membentuk keserasian,” katanya selepas perlawanan persahabatan itu berakhir.

Aksi persahabatan ini merupakan sebahagian daripada persediaan The Speedy Tigers untuk menghadapi Piala Sultan Azlan Shah 2024. (Sumber Gambar: MHC)
Dalam aksi persahabatan itu, pasukan Malaysia ketinggalan dua kali namun bangkit untuk menjaringkan dua gol padang menerusi Shello Silverius dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal serta satu gol pukulan sudut penalti menerusi Faizal Saari.
Malaysia akan mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan pada esok hari menentang Korea Selatan sebelum turun pada saingan Piala Sultan Azlan Shah dua hari selepas itu.
Sarjit Singh dijangka akan mengumumkan 18 pemain yang akan dibawa ke dalam kejohanan ini sebelum perlawanan persahabatan esok.