SKUAD hoki dalam dewan negara mempunyai misi serampang dua mata pada Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan 2024 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Kazakhsztan yang akan menjadi tuan rumah untuk kategori pasukan lelaki akan membuka tirai kejohanan pada 21 Mei depan, dan ini merupakan misi wajib Malaysia untuk sampai ke peringkat akhir bagi melayakkan skuad ke Kejohanan Piala Dunia 2025.

Manakala pasukan hoki dalam dewan wanita pula akan memulakan aksi perlawanan pada 13 Mei ini di Chonburi, Thailand dan sasaran utama adalah untuk menjuarai hoki kategori tersebut, demi mendapatkan slot ke Piala Dunia.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal yang ditemui di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menegaskan bahawa pasukan lelaki dan wanita masing-masing perlu bersemangat untuk membawa pulang kejayaan daripada Kejohanan Piala Asia nanti.

Subahan Kamal menegaskan skuad negara perlu membawa pulang kejayaan dalam kempen Hoki Piala Asia 2024.

“Sesi latihan kita telah bermula pada pertengahan bulan Ramadan lalu, jadi kita juga dapat latihan yang agak panjang. Dengan masa yang kita ada ini, sudah cukup memadai untuk kita meliputi segala aspek.

“Kita ada beberapa pemain kebangsaan yang pernah main hoki padang. Jadi kita mahu bahagikan kekuatan ini supaya hoki indoor dapat satu aura yang kuat dalam pasukan.

“Walau apapun, kejohanan ini sangat penting kerana ia akan menentukan masa depan hoki indoor di Malaysia. Pihak KHM sebelum ini memang kurang beri tumpuan, tetapi hari ini fokus kita berubah dan akan lebih ke arah mereka,” ujar beliau selepas Majlis Pelancaran Jersi Baharu Pasukan Hoki Dalam Dewan.

Pemain-pemain turut hadir pada Majlis Pelancaran Jersi Baharu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Pasukan hoki dalam dewan lelaki telah diundi dalam kumpulan B bersama dengan skuad Kazakhstan, Indonesia dan juga Oman manakala pasukan wanita pula akan membuat perhitungan di peringkat kumpulan A Hoki Piala Asia 2024 bersama Kazakhstan, Iran, Nepal dan Oman.

Sebagai rekod, skuad hoki dalam dewan lelaki negara mencipta sejarah apabila menjuarai Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 dengan menewaskan juara bertahan Iran, 3-2 pada aksi final di Bangkok, Thailand.

Pada saingan tersebut, skuad wanita Malaysia pula pulang tangan kosong apabila berjaya merangkul gangsa dengan mengatasi Kazakhstan 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.