NEGERI Sembilan Football Club (NSFC) menawarkan syarikat perniagaan dan pengusaha Industri Kecil & Sederhana (IKS) di Negeri Sembilan peluang untuk turut serta dalam usaha menyokong dan memajukan pasukan bola sepak NSFC melalui pakej tajaan “Corporate Jangs”.

NSFC adalah sebuah kelab bola sepak profesional dan setakat ini memiliki enam pasukan di bawah kendalian mereka iaitu skuad Liga Super, Piala MFL (B-23), Piala Presiden (B-20), Piala Belia (B-18) dan Akademi NSFC (B-12 dan B-10).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus, penajaan dari syarikat IKS akan membantu NSFC dalam pelbagai aspek seperti pembangunan bakat muda dan penyediaan kemudahan latihan yang lebih baik.

Konsep Corporate Jangs diperkenalkan NSFC untuk tarik lebih banyak penaja

“NSFC bukan sekadar pasukan bola sepak. Ia adalah simbol perpaduan dan kebanggaan rakyat Negeri Sembilan. Penajaan membantu mengukuhkan rasa kebersamaan dan menunjukkan kelab ini milik kita semua.

“Penajaan juga akan membantu mengukuhkan struktur dan kewangan kelab. Kita dapat melaksanakan pelbagai program pembangunan disamping membantu mengukuhkan misi kelab untuk mengecapi kejayaan dalam jangka masa panjang.

“Kekuatan NSFC adalah sokongan dari peminatnya. Pastinya sebarang kerjasama dan penajaan akan menitikberatkan kepentingan pasukan, penyokong, pelabur dan rakyat Negeri Sembilan.

“Kini, dengan tawaran serendah RM10,000, segalanya mampu direalisasikan dan ia juga satu peluang buat ahli perniagaan dan usahawan IKS meluaskan jaringan perniagaan mereka,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus

NSFC telah menjalin hubungan kerjasama yang kukuh dengan pelbagai syarikat dan organisasi sebagai Penaja Rasmi dan Rakan Rasmi seperti Matrix Concepts Holdings Berhad, Negeri Roadstone Sdn Bhd, Seremban Engineering Berhad, Gemencheh Granite Sdn Bhd dan Tuah Hartamas Development Sdn Bhd bagi musim 2024-2025.

Kerajaan negeri juga turut terlibat dalam menyokong pasukan bola sepak tempatan dengan menyertai sebagai Penaja Rasmi melalui Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan).

Manakala Rakan Rasmi pula terdiri dari ⁠KELME, ONEXOX, Kapten Gym, IRC Arena, Duopharma, UH Medical, Abstrax, ATF Sport Taping, KR Travel & Tour, TP Total Protection Insurance Agency, Cobra Gym dan Klana Resort.

Kerjasama ini bukan sahaja membawa manfaat kepada skuad bola sepak NSFC, tetapi ia menunjukkan satu perkembangan yang positif dalam industri sukan di Negeri Sembilan.