INDIVIDU kedua berusia lewat 30-an yang dipercayai suspek berkaitan kes simbah asid terhadap pemain sensasi negara, Faisal Abdul Halim telah berjaya diberkas oleh pihak polis pada Isnin (semalam).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kepada FLASH SUKAN bahawa tangkapan kedua itu dibuat di kawasan Bandar Baru Bangi pada petang semalam.
Individu pertama yang diberkas polis sebelum itu telah ditahan di kawasan Pandan Indah, Ampang dan sudah direman pada Isnin.
“Polis telah berjaya menahan seorang individu warganegara lelaki yang berusia dalam lewat 30-an.
“Tangkapan itu dibuat pada lewat petang semalam, di kawasan Bandar Baru Bangi.
“Oleh itu, individu tersebut akan direman pagi ini juga, di Mahkamah Petaling Jaya,” katanya ketika dihubungi pada pagi Selasa.
Faisal kini berada dalam keadaan yang kurang stabil dan mengalami kelecuran tahap empat. Dia sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta, Shah Alam dan beberapa pembedahan akan dibuat secara berperingkat.