Japan players pose after the end of the international friendly football match between Japan and Iceland at the National Stadium in Tokyo on May 31, 2026. (Photo by Yuichi YAMAZAKI / AFP)
Jepun menutup siri persiapan menjelang Piala Dunia 2026 dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Iceland dalam aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Tokyo, sekali gus meneruskan rentak cemerlang mereka menjelang kejohanan terbesar dunia itu.
Jaringan lewat penyerang gantian, Koki Ogawa pada minit ke-87 menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan selepas Iceland berjaya bertahan hampir sepanjang perlawanan.
Skuad kendalian Hajime Moriyasu bermula agak perlahan dalam cuaca panas, malah penjaga gol Zion Suzuki terpaksa bekerja keras menyelamatkan percubaan awal Dagur Thorhallsson.
Jepun turut menerima tamparan apabila pertahanan berpengalaman, Maya Yoshida terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan seawal minit ke-14.
Bagaimanapun, tuan rumah mula menguasai permainan menjelang penghujung babak pertama dengan beberapa peluang berjaya dicipta menerusi Keito Nakamura dan Takefusa Kubo, namun ketangkasan penjaga gol Iceland, Hakon Valdimarsson memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan.
Selepas rehat, Jepun meningkatkan tekanan dan hampir memecah kebuntuan menerusi Ko Itakura yang menerima hantaran daripada sepakan penjuru Yukinari Sugawara, namun percubaannya sekali lagi digagalkan Valdimarsson.
Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir tanpa gol, Ogawa muncul penyelamat apabila menanduk masuk hantaran lintang Sugawara untuk menghadiahkan kemenangan kepada Samurai Biru.
Keputusan itu menyaksikan Jepun melanjutkan rekod tanpa kalah kepada tujuh perlawanan berturut-turut selain mencatat lima aksi berturut-turut tanpa bolos menjelang kempen Piala Dunia.
Jepun dijadual memulakan saingan Kumpulan F dengan menentang Belanda pada 14 Jun sebelum meneruskan cabaran dalam usaha memburu pencapaian terbaik di pentas dunia.
Sementara itu, Iceland terus bergelut apabila masih gagal mencatat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir menjelang aksi persahabatan menentang juara dunia, Argentina.