BOLA sepak Malaysia bakal memasuki fasa baharu apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka melaksanakan rombakan besar menerusi pindaan statut yang akan dibentangkan pada Kongres Luar Biasa (EGM) pada 4 Jun depan.
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John berkata, perubahan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan standard tadbir urus FAM agar setanding dengan badan bola sepak moden di rantau Asia.
Menurut beliau, draf statut baharu yang merangkumi 94 artikel itu memberi penekanan kepada konsep inklusiviti dengan membuka ruang kepada lebih ramai pemegang taruh untuk terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan.
Antara cadangan utama ialah penyertaan kelab Liga Super, wakil jurulatih, pengadil dan pemain sebagai ahli gabungan FAM yang mempunyai hak untuk mengundi, mencalonkan calon serta mengemukakan usul dalam Kongres.
“Semua pihak yang terlibat secara langsung dalam bola sepak perlu diberikan ruang dan suara dalam menentukan hala tuju sukan ini,” katanya.
Dalam masa sama, Windsor menjelaskan hak mengundi tidak akan diberikan secara automatik kepada semua kelab yang diterima sebagai ahli gabungan.
Sebaliknya, kelab perlu membuktikan mereka beroperasi secara bebas daripada persatuan bola sepak negeri bagi mengelakkan pertindihan kuasa dalam sistem pengundian.
“Jika sesebuah kelab dan persatuan negeri mempunyai hubungan yang terlalu rapat atau tidak dapat dibezakan dari aspek pentadbiran, kelab itu tidak layak menggunakan hak mengundi,” katanya.
Beliau turut menjelaskan struktur pemilihan kepimpinan FAM akan menjadi lebih terbuka menerusi syarat pencalonan yang lebih longgar berbanding sebelum ini.
Calon Presiden hanya memerlukan empat pencalonan, manakala calon Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) masing-masing memerlukan tiga dan dua pencalonan.
Menurutnya, langkah tersebut bertujuan menggalakkan lebih ramai individu yang layak tampil menawarkan diri untuk memimpin badan induk bola sepak negara.
Selain itu, jumlah kerusi Exco turut dicadangkan dikurangkan kepada 11 orang bagi mewujudkan pentadbiran yang lebih ringkas dan efisien.
Windsor berkata, semua calon yang bertanding juga perlu melepasi beberapa tapisan integriti termasuk semakan oleh SPRM, PDRM, Jabatan Insolvensi serta laporan integriti antarabangsa daripada Sportradar.
Beliau turut mendedahkan satu audit kualiti pengurusan FAM telah dijalankan bagi menilai tahap kecekapan pentadbiran dalam pelbagai aspek termasuk sumber manusia, kewangan, perundangan dan operasi.
Laporan penuh audit tersebut dijangka dibentangkan kepada perwakilan semasa Kongres Luar Biasa nanti.
Pada masa sama, beliau menegaskan cadangan jawatan Presiden Kehormat tidak lagi sesuai dalam landskap bola sepak moden kerana tidak diamalkan oleh badan bola sepak utama dunia termasuk FIFA dan AFC.
Windsor percaya reformasi yang dicadangkan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan bola sepak negara seperti yang telah dilakukan beberapa negara Asia yang kini menikmati peningkatan prestasi di peringkat antarabangsa.
“Perubahan ini mungkin sukar diterima oleh sesetengah pihak, tetapi ia perlu dilakukan jika kita mahu membawa bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.